EKSKLUSIF, unik dan berkualiti membantu pemakainya sentiasa tampil anggun dan berkarisma menyebabkan rekaan jenama tudung terkenal, Fareeda sentiasa menjadi pilihan walaupun banyak perniagaan tudung di pasaran tempatan dan antarabangsa.

Pengasas dan Pengarah Urusan Fareeda Global Resources Sdn Bhd (Fareeda Global Resources), Faridah Zakaria berkata, sejak menceburi dalam perniagaan tudung lebih 10 tahun lalu, dia sentiasa kreatif dan berusaha menjadikan setiap rekaannya mempunyai identiti sendiri sekali gus memberi impak kepada perniagaannya.

Menurutnya, Fareeda optimis dengan kelainan ditampilkannya iaitu gabungan idea elemen seni rekaan, warna dan kesesuaian reka bentuk tudung yang terletak atau sedia untuk disarung (ready to wear) sebagai penyelesaian kepada pemakainya menyebabkan ia menjadi pilihan.

“Fareeda mempunyai identiti yang tersendiri dan direka untuk memberikan kemudahan dan keselesaan kepada pemakainya. Ia dihasilkan dari fabrik yang berkualiti antaranya chiffon dan digabungkan dengan aksesori yang disuai padankan mampu memberikan keyakinan kepada pemakainya, malahan tidak memerlukan banyak pin.

“Segelintir pihak berasa kehairanan kenapa Fareeda tidak terikut-ikut untuk mengikut keluaran jenama-jenama lain dipasaran yang ada, di antaranya pula menghasilkan rekaan yang begitu ringkas sedangkan di Fareeda kami sangat menekankan rekaan sendiri, seni jahitan, keunikan dan kreativiti.

“Kehadiran perniagaan pelbagai fesyen tudung dalam pasaran adalah satu perkara yang sihat, namun kita harus mempunyai identiti sendiri,” katanya.

Bukan proses mudah

Menurutnya, proses menghasilkan rekaan tudung Fareeda mengambil masa yang lama kerana melibatkan kerja-kerja penyelidikan dan pembangunan, 10 langkah dalam setiap jahitan untuk memastikan tudung yang dihasilkan terletak dan sesuai dengan bentuk muka serta boleh dilabuhkan dan dipendekkan mengikut kehendak pembeli.

“Saya mengambil masa berbulan untuk mendapatkan rekaan Fareeda, lazimnya ada yang silap dan rosak untuk beberapa kali. Seterusnya apabila siap, rekaan Fareeda akan dipatenkan dan didaftarkan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIpo).  

“Fareeda mengambil masa yang lama untuk membuat setiap rekaan berbanding peniru koleksi Fareeda. Mereka tidak perlu fikir rekaan dan mampu menyiapkan setiap tudung dalam tempoh setengah jam,” katanya.

Katanya, kebanyakan masyarakat tidak faham mengenai proses setiap rekaan yang dihasilkan dan menganggap tudung Fareeda keluarannya dan yang diciplak adalah sama.

Bagaimanapun katanya, pelanggan Fareeda mampu menilai kualiti tudung Fareeda yang betul berbanding tudung yang ditiru dan dijual dalam pasaran oleh mereka yang mengaut keuntungan.  

“Kami mempunyai 500 pekerja, tudung Fareeda dijahit di kilang kami yang terletak di Selangor, Pulau Pinang, Kelantan dan Kedah untuk memenuhi permintaan tinggi daripada pembeli. Fareeda akan memastikan setiap tudungnya yang berada di pasaran mempunyai kualiti jahitan yang kemas dan terletak apabila digayakan.

“Alhamdulillah, walaupun berdepan dengan kegawatan ekonomi, kuasa membeli tudung Fareeda masih tinggi dan kebanyakan pembeli adalah wanita berkerjaya berumur antara 25 hingga 45 tahun yang akan membeli. Jualan Fareeda tinggi di Selangor, Kelantan dan Johor,” katanya.

Tambahnya, setakat ini, Fareeda mempunyai sembilan butik antaranya di Putrajaya, Selangor, Johor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan.

Faridah berkata, jika dia memikirkan keuntungan, Fareeda akan mengeluarkan tudung mengikut kehendak pasaran, namun dia mahu ideanya sendiri dan menghasilkan tudung yang unik.

82 rekaan didaftarkan

Penasihat Harta Intelek, Norunnuha Nawawi berkata, setakat ini, portfolio harta intelek Fareeda bagi reka bentuk industri sebanyak 82 rekaan yang didaftarkan di MyIpo.

“Bagi pendaftaran jenama pula, portfolionya adalah 27 jenama dan terdapat satu permohonan pembaharuan utiliti. Fareeda fokus kepada reka bentuk supaya pengguna lebih mudah memakainya.

“Jika Fareeda mereka tudung yang sama di pasaran seperti perniagaan lain, Fareeda tidak mempunyai perbezaan dan tidak eksklusif. Malahan, setiap rekaan Fareeda adalah rekaan sendiri dan tidak menggunakan kepakaran luar,” katanya.

Katanya, trend memiliki harta intelek dan melindunginya perlu dibudayakan di Malaysia kerana ia sebagai penghormatan kepada pencipta harta intelek dan sepatutnya ia diterima baik oleh masyarakat.

“Sikap meniru idea dan rekaan pereka lain adalah ibarat pencuri dan adalah satu perbuatan yang tidak bermaruah.

“Meniru kejayaan pereka untuk tujuan memotivasikan diri adalah amat digalakkan tetapi meniru idea dan rekaan pereka dan memperniagakan hasil yang ditiru tanpa mendapat kebenaran adalah satu perbuatan yang keji," katanya.

Akhir sekali menurut Puan Faridah beliau akan terus menghasilkan rekaan yang berkualiti dan yakin ianya akan membuka minda dan masyarakat dapat menilai kreativiti dan seni rekaan pereka.