WALAUPUN sudah bergelar ibu kepada dua anak, pelakon dan pengacara, Dynas Mokhtar masih tetap kelihatan anggun dan menawan selepas menghabiskan tempoh berpantang sebulan lalu.

Dynas selamat melahirkan anak keduanya, Muhamed Haqaish pada 15 Jun lalu. Dia juga mempunyai seorang anak perempuan, Khyra Khalyssa, dua tahun.

Ketika ditanya mengenai kemungkinan mahu menambah anak, Dynas lantas mengatakan buat masa ini dia tidak terfikir lagi mengenai perancangan menambah bilangan anggota keluarga yang sedia ada.

“Sekarang yang dua anak ini pun saya tidak menang tangan! Saya kena beri sepenuh perhatian dan fokus dalam membesarkan Khyra dan Haqaish, selain bersyukur kerana telah dikurniakan sepasang cahaya mata,” kata Dynas lagi yang ditemui pada majlis berbuka puasa bersama 90 Anak-Anak Yatim Rumah Kasih Harmoni, Paya Jaras, Sungai Buloh, baru-baru ini.

Dynas atau nama sebenarnya Wan Intan Edrinas Wan Mokhtar, 29, turut menceritakan persiapan raya tahun ini bagi mereka sekeluarga.

“Saya ada menyiapkan baju raya baru untuk keluarga dan tahun ini baju saya sedondon dengan Khyra sementera suami, Mohd Hafizy Hafiz, sedondon dengan Haqaish.

“Saya kurang menggemari seluruh keluarga berpakaian sedondon, macam boria lah pula,” kata Dynas dalam nada berseloroh.

Pemilik Dynas Nursing Attire (DNA) yang terletak di The Curve, Mutiara Damansara ini turut dilihat semakin aktif dalam perniagaan dan sekarang dalam perancangan untuk membuka sebuah lagi butik di sebuah pusat membeli-belah di Kelana Jaya.

“Insya-ALLAH, jika tiada aral melintang dan semua proses berjalan lancar, akan wujud butik kedua DNA dalam masa terdekat nanti.

“Selain itu, saya turut terlibat dalam ceramah mengenai kepentingan dan kelebihan memberi susu ibu kepada bayi yang baru dilahirkan.  Saya akan menjelajah ke seluruh hospital kerajaan dan swasta dengan ‘support group’ yang lain untuk membincangkan secara terbuka dan lebih terperinci mengenai keistimewaan susu ibu,” katanya.

Jelasnya, “saya sendiri memberi susu ibu kepada kedua-dua anak kerana saya percaya susu ibu lebih berkhasiat dan baik untuk pertumbuhan selain sekarang terdapat pelbagai kemudahan untuk menyusu bayi.”

“Sebagai contoh, siapa kata ibu yang menyusu bayi tidak boleh bergaya?” katanya sambil menambah, “sekarang sudah banyak baju yang direka khas untuk ibu menyusu terdapat di pasaran.”

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.