Buddhi Hekayat
$entry.content.caption.value

Tarikh 29 Januari lalu menjadi saksi peristiwa bersejarah lagu Awan Nano ditabalkan sebagai juara di pentas keramat Anugerah Juara Lagu Ke-26 (AJL26).

Tumpuan masyarakat secara tidak langsung tertumpah kepada tiga lelaki yang berdiri di sebalik penciptaan lagu hebat itu iaitu Hafiz, Datuk M Nasir dan Buddhi Hekayat.

Setiap seorang menyumbang kekuatan daripada segi vokal, melodi dan lirik dan seterusnya membentuk sebuah penghasilan yang cukup sempurna.

Jika hendak dibuat perbandingan, nama M Nasir dan Hafiz mungkin lebih dikenali lantaran mereka dilimpahi kilauan populariti.

Berbeza dengan Buddhi, masih ramai samar-samar siapakah gerangannya pemilik nama pena yang cukup unik ini.

Secara tidak langsung, nama Buddhi mula menjadi perbualan dan pencarian mereka yang jatuh cinta dengan lirik Awan Nano yang cukup indah.

Satu fakta menarik untuk diketahui, keberadaan anak kelahiran selatan tanah air ini dalam bidang seni sebenarnya sudah pun menjangkau usia 14 tahun.

Dilatih sebagai pelukis dan mendapat pendidikan formal di Universiti Teknologi Mara (UiTM), segulung Ijazah Sarjana Muda Seni Halus berada dalam genggaman.

“Ketika zaman kanak-kanak, saya cukup gemar melukis, tetapi tidak tahu mahu jadi apa setelah dewasa kelak.

“Sewaktu di sekolah menengah, saya mendapat dorongan seorang cikgu yang tidak membenarkan saya melanjutkan pengajian dalam bidang lain selain lukisan,” katanya di awal bicara.

Bagaimanapun, bidang seni ternyata terlalu luas cabangnya dan bakat Buddhi atau nama sebenarnya, Muhamad Hasmi Hashim, tidak hanya tertumpu pada contengan di atas kanvas.

Selain pernah mengarahkan tiga teater, esei dan rencana tulisannya sering menjadi pilihan disiarkan kolum seni budaya pelbagai medium sama ada surat khabar, portal mahupun jurnal.

Malah, kecintaannya terhadap penghasilan lirik berputik sejak di menara gading lagi, biarpun tidak didedahkan kepada umum.

“Ada beberapa kawan menggunakan lirik saya untuk dibuat lagu, tetapi tidak dirakamkan.

“Bagaimanapun, menjadi kebanggaan apabila ada lirik saya diabadikan di ukiran marmar di Solaris Dutamas bersama karya penulis-penulis terkenal,” katanya.

Cuma, kebelakangan ini saja menurut Buddhi, dia mahu bergiat secara lebih serius dan aktif di arus perdana.

Keputusannya itu sedikit sebanyak dipengaruhi pemergian legenda dalam bidang penulisan lirik, Allahyarham Rosli Khamis atau Loloq, empat tahun lalu.

Bercerita lanjut, menurut Buddhi, sebelum ini dia enggan bersaing dengan arwah Loloq kerana menghormati penulis lirik terkenal itu.

“Perkenalan antara kami tercetus pada 2000 apabila saya menawarkannya menulis di kolum majalah tempat saya bekerja.

“Sejak itu kami rapat dan arwah banyak mengajar saya mengenai penulisan lirik. Tetapi saya tidak mahu menghasilkan lirik dan bersaing dengan arwah. Saya hormatinya dan arwah juga sedar perkara itu,” katanya.

Setelah arwah Loloq pergi menghadap Ilahi, barulah Buddhi terpanggil untuk meneruskan perjuangan rakan baiknya itu.

“Saya fikir saya tidak boleh meninggalkan tradisi yang telah dicipta arwah dan senior lain.

“Tradisi di mana lirik yang dihasilkan perlu memiliki kekuatan bahasa, satu aspek yang sering diabaikan pada masa kini,” katanya.


Sindrom tanah seberang

Berkongsi kerisauannya, menurut Buddhi, penghasilan lirik di Malaysia seolah-olah ‘diserang’ sindrom bahasa tanah seberang yakni Indonesia.

“Saya dapati lirik kita cenderung ke arah penggunaan bahasa Indonesia. Selain itu, muzik indie juga telah memperkenalkan laras bahasa yang baru.

“Bagi saya, itu tidak mengapa asalkan laras bahasa tersebut matang. Cuma, sayang kerana kita sudah ada kekuatan bahasa yang tersendiri seperti diperjuangkan Munsyi Abdullah,” katanya.

Dalam memberi tafsiran terhadap makna lirik yang sebenarnya, menurut Buddhi, dia bersetuju dengan pandangan arwah Loloq bahawa lirik bukan puisi.

“Kedudukan lirik terletak di tengah-tengah antara bahasa harian dan puisi. Seseorang penulis lirik perlu mahir kedua-duanya barulah boleh menguasai penulisan lirik.

“Bahasa harian seperti ‘Aku pergi pasar dan jumpa kamu’ misalnya, tidak sesuai dijadikan lirik.

“Malah, harus diingat, puisi yang hebat tidak semestinya bagus jika dijadikan lirik. Sebab itulah, banyak lagu puisi yang gagal,” katanya.

Menurut Buddhi, kekuatan lirik tidak boleh dipandang enteng kerana kuasa luar biasanya boleh memberi nyawa buat sesebuah lagu.

“Di sinilah penulis lirik perlu memainkan peranannya untuk menghidupkan sesebuah lagu.

“Sejarah sudah membuktikan, banyak lagu yang dicipta hampir mustahil untuk popular, tetapi berjaya dipulihkan dengan lirik yang bagus,” katanya yang turut menghasilkan lirik Ajaib (Spider), Angin Syurga (Misha Omar) dan Siapa Dapat Lisa (Sepahtu).


Impak Awan Nano

Mengakui tidak mendapatkan pendidikan formal dalam pengajian bahasa, sebaliknya Buddhi mengukuhkan perbendaharaan katanya melalui pembacaan dan latihan penulisan setiap hari.

Maka, lahirlah sebuah karya diberi nama Awan Nano bermodalkan usahanya mengangkat bahasa slanga atau kampung yang jarang diketengahkan.

“Secara spiritualnya, lirik Awan Nano mengambil kisah perjalanan Nabi Muhammad SAW yang sentiasa dilindungi awan.

“Di sebalik itu, saya cuba memperkenalkan perkataan nano yang bermaksud berselerak setelah mendapat idea daripada ibu saya yang sedang melipat kain sambil melihat awan,” katanya yang mengambil masa sepurnama menyiapkan lirik Awan Nano.

Tidak pernah memaksa masyarakat untuk menyukai karyanya, menurut Buddhi, kemenangan Awan Nano di AJL 26 seakan mengangkat martabat penulis lirik ke tahap lebih tinggi.

“Sebelum ini, orang kurang mengenali penulis lirik, tetapi AJL 26 berjaya mengubah situasi itu.

“Saya menganggapnya sebagai tuah kerana ini merupakan lirik pertama saya yang dirakamkan dan terus popular,”katanya yang bakal menghasilkan Awan Nano dalam bentuk novel pula.

Impak daripada Awan Nano, gelaran sebagai pengganti arwah Loloq mula disuakan kepada Buddhi lantaran gandingan menjadinya dengan M Nasir.

Umum mengetahui, komposer berpengalaman itu sebelum ini cukup serasi dengan arwah Loloq menghasilkan lagu-lagu hebat.

Menolak secara baik, bagi Buddhi, tidak mungkin kedudukan arwah Loloq digantikan oleh sesiapa.

“Saya mudah bekerjasama dengan M Nasir kerana kami saling memahami cara kerja masing-masing.

“Tidak terfikir untuk menggantikan arwah Loloq kerana dia terlalu istimewa dan tiada galang gantinya,” katanya yang merupakan penulis lirik kontrak di bawah syarikat Luncai Emas milik M Nasir.


Antara seni dan politik

Di sebalik penglibatannya dalam bidang seni, mungkin ramai tidak mengetahui bahawa Buddhi juga bergiat aktif dalam dunia politik melalui sebuah parti.

Bagaimanapun, Buddhi tidak pernah menganggap parti diwakili penentu jalur penulisan liriknya.

“Di luar negara, ramai seniman terlibat dalam politik tetapi perkara ini bukanlah satu kebiasaan di Malaysia.

“Sebab itu, saya sedih apabila ada orang mempertikaikan kemenangan saya di AJL26 dengan mengaitkan parti politik yang saya wakili. Sedangkan, saya tidak sesekali mencampurkan urusan politik dalam berkarya,” katanya.

Biar apa pandangan masyarakat terhadapnya, kata Buddhi, dia hanya mahu menghasilkan karya yang mampu membahagiakan orang lain.

Bersesuaianlah dengan nama penanya iaitu Buddhi yang diambil daripada kata dasar budaya dan Hekayat yang bermaksud kisah nurani.

“Kesemua lirik saya kisah nurani seorang Buddhi Hekayat. Saya puas jika orang lain dapat menikmati kebahagiaan daripada hasil kerja saya,” akhirinya.


www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.