LAMBAKAN pelakon baharu yang datang bak cendawan tumbuh selepas hujan membuatkan ramai anak seni perlu bekerja keras untuk kekal di dalam industri seni.

Ada yang memilih untuk mempertaruhkan rupa dan bakat semata-mata dan ada juga yang naik kerana kontroversi yang melanda.

Namun bagi pelakon dan model, Puteri Aishah  Sulaiman atau lebih dikenali sebagai Puteri Aishah ini, dia seboleh-bolehnya mengelak untuk dikenali kerana kontroversi.

Bahkan selepas tiga tahun berada di dalam industri seni, bintang yang dicungkil bakatnya menerusi program Dewi Remaja 2014/2015 ini mengakui tidak pernah memikirkan setinggi mana popularitinya kini.

"Bagi saya, saya taklah popular sangat berbanding dua rakan seperjuangan saya iaitu Mawar Rashid dan Raysha Rizrose.

"Malah kalau peminat jumpa saya di luar pun mereka lebih mengenali saya kerana watak yang saya lakonkan.

"Apa yang boleh saya katakan, saya kini masih dalam proses belajar dan kalau boleh biarlah orang mengenali saya kerana hasil kerja saya dan bukannya kontroversi," ujarnya ketika ditemui pada majlis previu Kempen Terima Kasih 2018 Rangkaian Televisyen Media Prima.

Pada majlis tersebut, Puteri Aishah yang diumumkan sebagai salah seorang duta TV3 dan TV9, bersama barisan selebriti lain seperti Amar Baharin, Amyra Rosli serta putera comel mereka, Aqeef Anaqi.

Turut dilantik Izzue Islam, Farah Nabilah dan Remy Ishak. Manakala duta NTV7 diwakili oleh Erwin Dawson dan Azira Shafinaz.

Tambah anak kelahiran Kuala Lumpur ini, dia berdebar menanti reaksi penonton terhadap filem pertama lakonannya, Pulang, yang dijangka akan ditayangkan pada Julai depan.

Menerusi filem tersebut, dia bergandingan dengan aktor berbakat besar, Remy Ishak.

"Sejujurnya ketika terpilih membintangi filem ini, saya tidak mengenali pengarah, Khabir Bhatia.  Bila mereka memuji karya Khabir sebelum ini, barulah saya menyedari siapa beliau.

"Berpeluang bergandingan dengan Remy juga satu pengalaman yang cukup berharga buat saya. Malah, saya memang memberi komitmen 100 peratus terhadap pembikinan cerita ini dan sentiasa terbawa-bawa karakter saya ketika penggambaran Pulang," ujarnya.

Dalam pada itu, berkongsi mengenai aktiviti sepanjang bulan Ramadan, Puteri Aishah berkata dia akan menjayakan kempen dan menyertai aktiviti yang dijalankan oleh TV3 dan TV9 di pelbagai lokasi.

Di samping itu, dia juga sibuk dengan promosi filem Pulang dan menjalani penggambaran drama bertajuk Terima Aku Seadanya.

“Ramadan tahun ini malah sampai raya nanti saya sibuk dengan kerja. Selain ikut aktiviti kempen Terima Kasih, saya akan terlibat dengan promosi filem Pulang dan menjalani penggambaran drama untuk saluran NTV7,” katanya.