GELAGATNYA sangat bersahaja, tangannya lincah menghias wajah, mulutnya pula petah berkata-kata.

“Haiiii hammmmpaaaa...,” katanya dalam loghat Kedah dengan cukup ‘meriah’.

Itulah permulaan kata Nur Nabila Zulyadaini atau Bella ketika sesi tutorial secara langsung menerusi laman sosial rasminya, Make Up by Bellaz. 

Biarpun dilihat biasa, namun personaliti media sosial itu berjaya mengumpul sejumlah besar penonton setiap kali bersiaran langsung. 

Jumlah pengikutnya sudah melebihi sejuta sejak aktif di laman sosial itu tiga tahun lalu. 

“Alhamdulillah, saya tak tahu pula, ia akan menarik ramai penonton. Lagipun, terlalu ramai yang buat sesi tutorial solekan.

Bagi Bella, paling utama dia mahu menjadi diri sendiri dan tidak meniru gaya personaliti make up lain.

"Macam mana saya di dalam tutorial itu, macam itu jugalah saya di luar,” katanya kepada Media Hiburan. 

Mengakui tiada asas dalam penggunaan alat kosmetik, namun ternyata jemarinya mempunyai sentuhan magis yang memukau. 

Kata Bella, dia belajar solekan melalui You Tube hanya untuk suka-suka sementelah bosan berada di rumah tanpa melakukan sesuatu. 

“Saya ni orang susah dan tiada peluang belajar melalui kelas solekan sebab kosnya mahal. Tapi, saya memang minat seni dan lukisan. Jadi, bila ada sedikit ilmu, apa salahnya kita kongsi bersama?” katanya. 

Kini, Bella menjadikan bidang solekan sebagai sumber pendapatan utama apabila menubuhkan studio di Alor Setar, Kedah.

Pada masa sama, wanita berusia 25 tahun ini turut dijemput mengendalikan bengkel solekan wajah di seluruh negara termasuk Brunei dan Singapura.

“Saya juga merancang mengeluarkan lagi produk kecantikan sendiri dalam tempoh 10 tahun," katanya.  

Kepuasan tersendiri

Bella juga lebih gemar menggunakan alat kosmetik keluaran usahawan tempatan yang secara tidak langsung membantu membangunkan ekonomi peniaga terbabit. 

“Saya bukan dibayar untuk membuat review, sebaliknya memang menggunakan produk itu sendiri. Kalau produk yang saya guna itu berkesan, tak salah rasanya untuk saya berkongsi,” katanya yang menganggap perkara itu sebagai kerja kebajikan untuk masyarakat. 

Kerap mengadakan sesi tutorial dalam tempoh seminggu, Bella bagaimanapun lebih mencapai kepuasan apabila ada pengikutnya berjaya memperoleh pendapatan sendiri melalui sesi tersebut. 

“Ada yang menghubungi saya, ucapkan terima kasih kerana membantu mereka mencapai cita-cita. 

“Saya juga terharu apabila ada juga pelajar yang tak fasih bahasa Melayu tapi masih mampu faham dan kuasai apa yang saya ajar,” katanya. 

Pernah dikecam

Dalam pada itu, Bella yang dilihat mudah mesra dan murah senyuman sebenarnya pernah menitiskan air mata kerana kecaman masyarakat.

Semuanya gara-gara fitnah sekali gus menjejaskan semangatnya ketika di awal kemunculannya. 

Pun begitu, wanita kacukan Turki-Melayu ini enggan terus melayan perasaan itu.

Lebih bertuah, suaminya, Anuar Ahmad dan keluarga serta anak-anak tidak putus-putus memberi semangat meneruskan minatnya itu. 

“Saya sangat sedih, sampai menangis dan tak berselera makan apabila orang fitnah kata saya solek tak cantik, macam najis dan kutuk keadaan fizikal.

“Selepas disiasat, rupa-rupanya fitnah oleh individu dalam bidang sama. Mungkin terancam dengan kehadiran saya,” katanya terkilan.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :