RAMAI yang mengetahui salah seorang anak perempuan pelakon Azmil Mustapha merupakan seorang model.

Pelakon yang popular dengan filem seperti Mekanik dan Ali Setan ini kini merupakan seorang guru agama bagaimanapun tidak mudah ‘melatah’ apabila soalan mengenai anaknya itu diajukan.

“Benar, dia seorang model. Sekarang pun masih ‘shooting’ lagi. Bukan saja di Malaysia, malah kerjayanya memerlukannya ke luar negara.

“Jika ada yang tanya kenapa anak model, ayahnya begini, saya hanya boleh jawab hidayah itu milik ALLAH SWT,” katanya semasa menjadi tetamu dalam sesi temubual secara langsung di Facebook Sinar Harian, hari ini.

Katanya lagi, sebagai ayah, Azmil tidak pernah menghalang apa juga kerjaya pilihan anaknya.

“Anak saya muda lagi, minat ke arah itu... jadi kita ok sajalah. Kalau nak cakap lebhih-lebih pun, kita dulu pun dalam bidang ini juga.

“Tak apalah, doa yang baik-baik saja,” katanya yang baru menimang cucu keempatnya baru-baru ini.

Ayah kepada lima anak hasil dua perkahwinannya sebelum ini pernah membawa tiga daripadanya untuk sama-sama belajar al-Quran di Syria.

“Alhamdulillah, sepanjang di sana, mereka dapat belajar dengan cepat dan bila baca al-Quran, mereka faham.

“Tak seperti sesetengah orang yang baca tapi tak faham. Betul, baca pun dah dapat pahala, tetapi ibarat beginilah, kalau baca pahalanya, lima, kalau baca dan faham pahala 15, baca dan amal pahalanya 30, baca, amal dan mengislamkan satu orang, 50, baca, faham dan Islamkan satu dunia, pahalanya 100.

“Takkan kita berpuas hati dengan lima itu sahaja sedangkan kita boleh dapat lebih daripada itu?,” katanya.

Dalam pada itu, Azmil kini dalam perancangan akan membuka pusat tahfiznya sendiri pada tahun hadapan.

“InsyaAllah, ia akan dibuka di Kenaboi, Negeri Sembilan. Saya akan fokus kepada pengajian al-Quran dalam bahasa Arab.

“Kalau bahasa Arab ditanam sejak kecil, insya-ALLAH tidak akan ada masalah apabila besar nanti.

“Inilah masalah kerajaan Malaysia yang tak ada bahasa Arab sejak kecil,” katanya lagi.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :