DEBARAN akhir pentas Akademi Fantasia 2016 (AF2016) sudah pun berakhir. Seperti biasa, juara AF2016 tidak pernah mengecewakan peminat-peminat program itu apatah lagi undian 100 peratus daripada peminat.

Secara keseluruhan lima finalis yang berentap malam kelmarin seperti penyanyi profesional apabila memberikan persembahan begitu bertenaga.

Amir menepati ramalan ramai apabila mendapat undian tertinggi iaitu 23 peratus undian, menewaskan pencabar terdekatnya Amal (kedua), Reshma (ketiga), Ara (keempat) dan Afi (kelima) berjaya mencuri tumpuan dengan persembahan dua buah lagu.

Pengetua AF2016, Datuk Shake melahirkan rasa bangga dan berpuas hati di atas kesungguhan pelajar serta keputusan malam tersebut.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih buat yang terlibat, semua tenaga pengajar sehinggalah kepada penaja, pihak produksi, media sama ada secara langsung dan tidak.

“Saya berpuas hati dengan keputusan 100 peratus ditentukan pengundi. Semua pelajar yang berjaya ke peringkat akhir ini mempunyai peluang besar untuk menjadi juara," katanya.

Jelasnya, kemenangan Amir merupakan rezeki buat anak kelahiran Selangor itu.

"Secara peribadi saya anggap dia sebagai orang yang suka belajar dan di dalam setiap persembahan mingguan pun dia sangat konsisten dan lakukan yang terbaik.

“Apabila dia membuat persembahan di hadapan audiens, auranya jadi lebih menyerlah,” ulasnya lagi.

Dengan kemenangan tersebut, Amir atau nama sebenarnya Amir Syazwan Masdi, 20, membawa pulang hadiah utama wang tunai RM50,000 berserta hadiah sampingan.

Pelajar Universiti Tenaga Nasional (Uniten) ini turut menerima RM5,000 bagi kategori khas iaitu Anugerah Fantasi D’Herbs.

Tiada yang lebih indah untuk diungkapkan melainkan rasa syukur di atas rezeki yang diberikan kepadanya. Apatah lagi ini AF2016 merupakan cubaan pertamanya untuk mengembangkan bakat nyanyian.

“Apabila diumumkan sebagai juara, sudah pasti saya rasa terkejut dan bersyukur.

"Alhamdulillah atas kemenangan ini dan saya ingin ucapkan terima kasih buat pengundi dan keluarga yang beri sokongan yang tidak putus-putus," katanya.

Bijak menyusun kata, Amir berkata, pada awalnya, dia merasa takut untuk menyertai AF2016 memandangkan malu untuk menyanyi di hadapan ramai orang.

“Tetapi, atas dorongan dan semangat daripada ibu saya, Jamaliah Samid, saya beranikan diri," sambung Amir yang menyifatkan Amal dan Reshma sebagai pencabar terdekatnya sepanjang pertandingan.

Anak muda ini jua begitu mementingkan ilmu dalam bidang muzik dan akan terus menyambung pengajiannya dalam bidang muzik.

Melihat kerjaya nyanyian bukan hanya boleh menyanyi Amir meletakan Faizal Tahir  dan Micheal Jackson sebagai inspirasi untuk menjadi lebih baik.

"Selepas ini, saya akan cuba menampilkan sisi sebenar diri saya dengan lagu-lagu balada. Inilah kekuatan saya. Namun, sebagai penyanyi yang baik, saya akan pelbagaikan genre supaya peminat tahu kebolehan saya," katanya.  

AF masih relevan

Setiap kali berakhirnya program realiti, sudah pasti akan wujud isu klise program hiburan tersebut dikatakan kian hilang taring. Lalu, rata-rata respons membayangkan ia perlu dihentikan.

Pengurus Saluran Astro, Raqim Ahmad berkata, Akademi Fantasia (AF) yang kini sudahpun memasuki musim ke-13 berkata, program realiti ini masih relevan dan menjadi antara program hiburan mingguan yang sering dinantikan penonton.

“Setakat ini, Astro masih belum memutuskan sama ada tahun depan AF akan diteruskan ataupun tidak. Namun apa yang boleh kami katakan ialah, jenama ini masih besar dan kukuh.

Ia jelas apabila AF2016 sering menjadi 'trending' di media sosial dan harapnya ia juga turut memberi refleks kepada rating juga.

"Saya turut dimaklumkan untuk peringat akhir ini, ia sudah jadi 'trending' sebelum konsert bermula dan pastinya merupakan satu petunjuk yang bagus.

“Jujurnya juga, kami pernah melakukan pembaharuan dari sudut pengisian dan format misalnya pada edisi 2013 lalu. Namun apabila cuba ubah, kami dapat banyak maklum balas yang mahukan pengisian lama. Jadi ia kembali pada idea asal setahun selepas itu.

“Kerana itulah, jika anda boleh lihat, kami mengekalkan Cikgu Linda Jasmin kerana audiens mahukan dia sebagai antara salah seorang tenaga pengajar sejak dulu hingga kini,” ulasnya lagi.

Secara keseluruhan, Ahmad Raqim mewakili Astro melahirkan rasa gembira dengan perjalanan AF pada tahun ini atas kepercayaan yang diberikan penaja buat program realiti berkenaan.

“Secara peribadi saya juga gembira kerana kesinambungan AF. Ia tidak hanya lahir atas kepercayaan Astro sendiri terhadap program ini tetapi ia jelas dengan tajaan yang diterima daripada 11th Street dan Vitagen yang hadir untuk menaja buat kali pertama.

“Malah D’Herbs turut kembali bersama AF pada tahun ini dan ia menunjukkan program ini masih menjadi jenama pilihan pengiklan dan sebagai stesen penyiaran, kami begitu berbesar hati,” akhiri Raqim.

AF 2016 yang dipancarkan dari MBSA, Shah Alam secara langsung pada jam 9.00 malam Ahad lalu itu turut diserikan dengan persembahan dan penampilan khas selebriti popular seperti kumpulan Indigo, KRU, Maya Karin, Mira Filzah, Fattah Amin dan Neelofa.