SELAYANG - Penghijrahan mendekatkan diri dengan agama menjadikan kehidupan Mohd Ali Ismail yang juga bekas vokalis XPDC kini lebih tenang bersama isteri dan anaknya.

Mohd Ali atau dikenali Ali XPDC mula berubah dan mendalami ilmu agama tahun lalu selepas mengambil kira faktor usia.

Beliau berkata, penerimaan dalam kalangan umum terdapat pro dan kontranya apabila ramai yang memuji tidak kurang mempertikai.

“Ramai beranggapan penghijrahan saya adalah  untuk mendapatkan publisiti dan populariti namun persepsi itu saya anggap sebagai ujian dalam melakukan perubahan.

“Niat berubah adalah disebabkan faktor usia dan tidak dipengaruhi oleh pihak lain dan tidak berhasrat menceburkan dalam politik,” katanya kepada Sinar Harian selepas menghadiri festival budaya bertemakan hibur dan didik di Selayang Baru, malam semalam.

Ditanya perkembangan semasa kariernya, Mohd Ali berkata, beliau kini bersikap lebih memilih membuat persembahan dalam majlis.

“Karier nyanyian masih diteruskan seperti biasa namun memilih lokasi dengan tidak lagi membuat persembahan di kelab malam dan jenis lagu disampaikan lebih bercorak ilmuwan.

“Lagu-lagu lama masih dinyanyikan mengikut permintaan tetapi fokus lebih kepada muzik keagamaan,” katanya.

Menurutnya, beliau merancang untuk menerbitkan sebuah album genre Islamik dengan niat berkongsi agama bersama peminat-peminat.

Mohd Ali yang hampir 20 tahun menceburi bidang nyanyian mengikut jejak langkah beberapa artis rock lain melakukan penghijrahan seperti Sham Kamikaze, Mel Wings, Rahmat Ekamatra dan Ejam Eye.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.