• Aku, Kau dan Dia menyentuh perasaan Aku, Kau dan Dia menyentuh perasaan
1 /

Jika anda sudah lama mendambakan sebuah naskhah romantis yang menyentuh jiwa, maka anda harus menonton filem terbaru, Aku, Kau dan Dia. Bagi penulis, karya cinta terbaru Pierre Andre ini adalah karya terbaiknya selepas pernah mengarahkan filem romantis, 9 September, Im Not Single dan Chantek.

Lebih istimewa, filem ini diadun dan terhasil dari pengalaman pengarah muda itu sendiri. Tidak hairanlah, filem ini cukup segala rencahnya - pahit, manis, masam, dan masin. Aku, Kau dan Dia berkisar tentang harapan seorang gadis bernama Mia (Zarina Jamalullail) yang kehilangan tunangnya Ilhan (Pekin Ibrahim) akibat kemalangan jalan raya.

Bagi mengubat kerinduan pada arwah tunangnya, Mia gemar bermain piano, namun sering kali tertekan kerana tidak dapat menghabiskan bait lagu yang dimainkan. Kemudiannya, Mia pula mengalami kemalangan dan koma selama 2 minggu. Pulih dari koma, Mia cuba untuk mendapatkan ingatannya kembali kepada nota lagu yang diciptakan untuk Ilhan.

Namun Mia gagal berbuat demikian. Mia kembali ke tempat di mana dia mengalami kemalangan dengan harapan dia dapat mengingati kembali nota lagu tersebut. Di sana dia terjumpa Izlan (Remy Ishak) seorang pemuzik jalanan yang bermain muzik di kawasan tersebut. Izlan memainkan lagu kegemaran Ilhan. Melalui pertemuan itu, Mia dan Izlan kemudiannya menjadi semakin rapat.

Namun, tanpa Mia sedari, pertemuan itu permulaan konflik dalam hidup Mia kerana kehadiran Izlan bukan seindah disangka. Sejak permulaan minit pertama filem ini lagi, Pierre bijak memancing perhatian penonton dengan kesedihan dan kemurunganyang dialami Mia. Malah teknik imbas semula yang digunakan Pierre turut sama menggamit emosi penonton yang turut bersimpati dengan Mia.

Selain itu, selitan lagu-lagu indah sepanjang satu jam 30 minit filem ini dimainkan menyebabkan penonton akan sama-sama merasai kehibaan Mia dan kegembiraan Mia selepas bertemu Izlan.

Tidak cukup dengan jalan cerita yang cukup menyentuh hati, gandingan tiga pelakon utama filem ini Zarina, Pekin dan Remy cukup baik. Biarpun masih baru, lakonan Zarina tidak kurang hebatnya.

Meskipun kelihatan sedikit kaku, namun dari segi mainan emosi, Zarina berjaya menyampaikan ekspresi cukup baik. Begitu juga dengan kehadiran Pekin, walaupun hanya untuk beberapa babak, lakonan Pekin cukup baik dan meninggalkan kesan yang amat mendalam.

Manakala, Remy yang dilihat cukup bersahaja dan berbeza dari lakonannya di dalam filem atau drama yang pernah dijayakan Remy sebelum ini. Ada ketikanya, Remy berjaya membuat penonton tersenyum dan kadangkala 'kegelian' melihat aksinya di dalam filem ini.

Secara keseluruhan, bagi penulis, Pierre cukup bijak mencipta 'twist' pada minit terakhir jalan cerita ini, membuatkan penonton akan lebih merasai kesengsaraan Mia.

Malah, bagi mereka yang pernah merasai keperitan kehilangan insan tersayang, filem ini pasti akan meninggalkan kesan serta menyentuh perasaan anda.