Nama Playground Production mungkin lebih dikenali dalam bidang pementasan teater atau sketsa komedinya. Apatah lagi, setiap pementasan yang dihasilkan ternyata mampu beri hiburan yang
berkesan kepada setiap penontonnya.

Kejayaan mereka terbukti apabila Playground Production pernah menerima Anugerah Persembahan Kumpulan Terbaik di Kakiseni Boh Cameronian Arts, baru-baru ini.

Pencapaian tersebut sekali gus memberi semangat baru buat syarikat produksi ini untuk melangkah setapak lagi ke hadapan dalam menyertai bidang penerbitan rancangan televisyen.

Sebagai permulaan, Playground Production bakal menerbitkan sebuah telefi lem berjudul, Aku, Dia Dan Tong Sampah yang dijangka bersiaran pada 3 Oktober ini, jam 8.30 malam dalam slot Skrin di 9, di TV9.

Telefilem berdurasi 90 minit ini menampilkan gandingan hebat Siti Saleha dan Beto Kusyairy serta beberapa barisan pelakon lain seperti Razif Hashim, Norzizi Zulkifl i dan Fauziah Nawi.

Penerbitnya, Tuan Faisal Azmy berkata, Aku, Dia Dan Tong Sampah merupakan karya pertama arahan Ismail Jamaluddin dan Megat Shariza dalam menghasilkan sebuah telefilem.

“Kisah Aku, Dia dan Tong Sampah merupakan sebuah cerita komedi romantik mengenai dua insan iaitu Sharnaz dan Amir yang mengalami keperitan hidup kerana putus cinta dengan pasangan masing-masing.

“Pertemuan antara kedua insan ini bermula ketika mereka mahu membuang surat cinta bekas kekasih di tempat pembuangan sampah. Sejak pertemuan itu, mereka berjanji mahu bantu antara satu sama
lain untuk kembali ke sisi bekas kekasih mereka,” katanya.


Karya asal pelajar

MENURUT Faisal, pada asalnya, karya ini telah dihasilkan oleh sekumpulan pelajar dari Universiti Teknologi Mara yang membuat projek akhir semester mereka dalam bentuk filem pendek.

“Bagaimanapun, untuk menghasilkan telefilem ini, skrip asalnya telah diolah oleh penulis, Nadia Khan yang sebelum ini terkenal dengan hasil karya novelnya, Kelabu.

“Ini satu penghormatan kerana kami yang sudah biasa dengan pementasan teater kini diberi tanggungjawab besar untuk menerbitkan sebuah telemovie yang berkualiti dan kami turut bersyukur pihak TV9
memberi kepercayaan sepenuhnya kepada kami untuk menerbitkan telefi lem ini,” katanya.


Banyak perbezaan

BERKONGSI pengalaman dalam menjalani pembikinan telefilem ini, Faisal mengakui begitu banyak perbezaan yang harus dijalani dalam pembikinan pementasan teater dan telefilem.

“Perbezaan yang paling ketara adalah lokasi penggambaran. Jika persembahan teater hanya akan berjalan di atas pentas, telefilem pula, kami terpaksa menjalani penggambaran di tempat yang berbeza.

“Pengurusan dalam pembikinan telefilem juga agak kompleks dan memerlukan kos yang tinggi untuk disiapkan. Itu adalah antara cabaran yang kami lalui selain daripada keadaan cuaca dan penggambaran yang dilakukan di bulan puasa,” katanya.

Menyentuh mengenai pemilihan pelakon, Faisal mengatakan, Siti Saleha dan Beto Kusyairi dipilih kerana yakin dengan kemampuan kedua pelakon ini dalam menghayati watak yang diberikan.

“Sebelum ini saya pernah bekerjasama bersama mereka dalam persembahan teater. Saya nampak karakter mereka sesuai untuk melakonkan watak dalam telefilem ini.

“Ternyata gandingan mereka dalam telefilem ini cukup serasi, sekali gus kedua pelakon ini berjaya menghidupkan watak yang diberikan,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.