Bergelar sebagai penyanyi, penggubah lagu, penulis lirik, penerbit rakaman dan pemuzik, nama Adnan Abu Hassan, bukanlah asing di negara ini. Figura yang memelopori muzik tanah air ini turut melahirkan penyanyi-penyanyi terkenal seperti Aishah, Fauziah Latiff, Nora, Siti Nurhaliza, Ziana Zain, Camelia, Liza Hanim, Dayang Nurfaizah dan Misha Omar.

Walaupun usianya kini menginjak 54 tahun, namun Adnan masih lagi aktif berkhidmat dalam industri seni. Malah dia banyak terlibat sebagai tenaga pengajar untuk mencari pelapis yang bakal mempelopori dunia seni.

"Sepanjang bergelar komposer cabarannya bukan sedikit kerana berhadapan dengan pelbagai telatah manusia. Apa yang pasti kita harus melaluinya dengan sabar dan tenang supaya segala masalah dapat diselesaikan," katanya.

Meskipun tugasnya sebagai komposer tidak serancak dulu, namun khidmatnya masih diperlukan. Menurut Adnan, dia masih mencipta lagu bagi segelintir artis, namun keutamaannya kini lebih kepada mendidik dan mencari pelapis.

"Saya sedia berkongsi ilmu dengan sesiapa saja. Sebenarnya bukan mudah untuk mendidik seseorang, kerana ia memerlukan minat dan kesungguhan mereka sendiri," katanya. 

Bagi Adnan, bakat individu itu jika tidak diasah atau dibentuk dengan baik maka ia menjadi satu pembaziran kepada diri sendiri dan juga industri secara amnya.

Tidak hanya bergelar 'cikgu' kepada pelajar dalam beberapa siri program realiti, Akademi Fantasia, Adnan juga masih setia menjadi juri tetap dalam program Kilauan Emas yang kini memasuki musim ketiga.

Punya aura, karisma

Menjengah perjalanan seni Adnan, komposer kelahiran Kedah ini sering menjadi tumpuan ramai jika hadir ke sesuatu majlis kerana aura dan karismanya sebagai orang yang paling berpengalaman dalam bidang muzik.

Orangnya tegas walaupun ada segelintir takut dengan riak wajahnya yang garang, namun Adnan mampu berjenaka dan gelak ketawa ketika diwawancara. Sikap peramah dan mudah didekati itu menjadikan dia mudah didekati dan mesra dengan sesiapa sahaja yang menegurnya.

Sempat berkongsi rahsia kejayaannya, Adnan berkata tanpa minat dan bakat seseorang itu tidak akan berjaya. Malah dia sendiri belajar bermain alat muzik dalam usia muda dan memenangi pertandingan muzik ketika di sekolah rendah lagi. Baginya, jika ingin berjaya minat harus ada dalam setiap individu.

"Tanpa minat, kita tak boleh berjaya walaupun mempunyai bakat. Usaha mesti keras kerana latihan yang dilakukan akan menjadikan kita insan yang berjaya," kata Adnan.

Dan, paling penting ketika melakukan persembahan atau menghadiri uji bakat adalah penampilan yang kemas supaya juri tertarik.

Sentuhan berbisa

Berjaya melakar sejarah tersendiri menerusi lagu-lagu ciptaannya seperti, Sinaran nyanyian Sheila Majid, Kasih Ku (Rahim Maarof), Janji Manismu (Aishah) dan Bunga-Bunga Cinta (Misha Omar), pemegang Ijazah Sarjana Muda dalam Muzik Profesional dari Berkley College of Music, Amerika Syarikat ini, punya magis yang tersendiri dalam menghasilkan lagu.

Malah hampir kesemua lagunya terkenal dan masih bersifat evergreen di hati peminat.

"Ilham untuk mencipta lagu tidak tentu masa, tempat atau waktu. Kadang-kadang kita boleh dapat idea ketika memandu, makan atau beriadah sekalipun," kata Adnan.

Jasanya terlalu besar dalam bidang muzik sehingga berjaya memenangi Anugerah Wirama pada 2010 pada Anugerah Industri Muzik ke-17. Selain itu lagu ciptaannya, Bunga-Bunga Cinta, turut menang besar dalam Anugerah Juara Lagu 2003.

Malah, kejayaannya dalam bidang muzik mendorong dua adiknya terlibat dalam dunia hiburan iaitu Azlan Abu Hassan dan Azman Abu Hassan.


Pencapaian

Juara Lagu ke-11 (Jerat Percintaan) & Juara Lagu ke 18 (Bunga-bunga Cinta)
Juara Kategori Pop Rock AJL 8 (Sudi Katakan Sudi)
Juara Kategori Balada AJL 13 (Puncak Kasih)
Lagu Terbaik AIM (Jerat Percintaan)
Album Pop Terbaik AIM (Puncak Kasih)
Anugerah Carta Era 2004 - Dambaan Pilu
Lagu Sepanjang Tahun - Anugerah Media Hiburan 2003 (Bunga-bunga Cinta)

Penglibatan Filem

Cinta Yang Satu - (Lagu Tema) 2007
Sayang Salmah - (Muzik) 1995
Interlud - (Muzik) 1992
Rentak Desa - (Komposer) 1990
Anak Sarawak - (Muzik) 1989
Ujang - (Komposer) 1989
Anak Sarawak - (Lagu Tema) 1989
Ali Setan - (Muzik) 1986
Matinya Seorang Patriot - (Muzik) 1984