SELEPAS mencipta nama sebagai pemain bola sepak termuda mengikat kontrak selama setahun bersama kelab Divisyen Satu Portugal SC Beira Mar, Nazmi Faiz Mansor hanya mampu menimba ilmu dalam tempoh enam bulan sebelum pulang ke tanah air.

Destinasi  Nazmi  ini pastinya mengejutkan peminat apabila memilih pasukan berstatus kelab, PKNS dan mengikat kontrak tiga tahun (2013-2016) untuk meneruskan kerjayanya selaku pemain bola sepak profesional.

Kemasukan pemain tersebut pada jendela perpindahan kedua April 2013 sememangnya memberikan impak buat pasukan.

Tetapi, akhir-akhir ini khususnya semasa jendela perpindahan kedua (23 Mac - 22 April) terdapat khabar angin pemain berusia 20 tahun ini bakal meninggalkan skuad Semut Merah.

Namun perkhabaran ini dinafikan Pengurus Pasukan PKNS, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid yang memaklumkan Nazmi masih menjadi milik PKNS untuk mengharungi saingan akan datang.

"Usah percaya berita seumpama itu, Nazmi masih menjadi milik PKNS, turun berlatih bersama dan beraksi untuk pasukan ketika menentang Selangor, Sabtu lalu.

"Semua khabar itu adalah tidak benar dan saya ingin jelaskan bahawa tiada sebarang usaha pasukan lain untuk membawanya keluar kerana jika ada pasti melalui pengurusan PKNS.

"Peraturan sedia ada yang digariskan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlulah dipatuhi di mana persetujuan kedua-dua belah pihak antara majikan lama dan baru perlu di capai," katanya.

Mahfizul Rusydin turut mengakui ada beberapa pasukan cuba memancing Nazmi namun ia sekadar lisan dan bukanlah rasmi.

"Sebelum ini ada tetapi ia bukanlah pada waktu yang sesuai (musim perpindahan) antaranya Pahang, Angkatan Tentera Malaysia dan Selangor namun saya melihat ia bukanlah usaha yang serius," katanya.