JEDDAH - ARAB SAUDI. Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud dilaporkan telah bersetuju untuk membayar pampasan kepada semua mangsa yang terlibat dalam nahas kren runtuh di Masjidil Haram petang Jumaat lalu.

Memetik laporan Saudi Press Agency, nilai pampasan ini dikategorikan kepada tiga bahagian iaitu kepada jemaah yang meninggal dunia, jemaah yang cedera hilang keupayaan kekal dan jemaah yang hanya mengalami kecederaan biasa.

Bagi jemaah yang meningga dunia dan jemaah yang hilang keupayaan kekal, mereka akan dibayar SR1 juta(RM1.14juta) sementara yang mengalami kecederaan yang membolehkan mereka pulih seperti biasa pula akan diberi pampasan sebanyak  SR500,000 (RM565,000).

Menurut laporan itu, tindakan Raja Salman berbuat demikian adalah untuk membantu keluarga jemaah yang terkorban selain sebagai bantuan kepada mereka untuk menuntut hak di mahkamah.

Selain itu, bagi jemaah yang meninggal dunia, dua orang waris mereka akan dijemput sebagai tetamu diraja untuk menunaikan ibadah haji untuk musim haji 1437H iaitu tahun depan.

Tempoh visa waris yang masih menjaga ahli keluarga mereka di hospital di Arab Saudi juga akan dilanjutkan sehingga tamat tempoh haji atau sehingga kembali ke negara asal mereka.

Dalam kejadian pada petang Jumaat lalu, sekurang-kurangnya 107 jemaah haji terkorban apabila sebuah kren runtuh di Masjidil Haram.

Sehingga kini, Tabung Haji yang beroperasi di Makkah sedang mengesan dua lagi jemaah haji Malaysia yang dilaporkan hilang iaitu Abdul Habib Lahman, 68, berasal dari Sik, Kedah dan Shahidan Saad, 52, dari Kodiang, Kedah.

Empat jemaah haji Malaysia yang terkorban ialah Rusiah Suar, 56, yang berasal dari Sungkai, Perak; Rohana Ismail, 54, (Kuala Krai, Kelantan); Siti Nurolshlizan Zolkifli, 37, (Tanah Merah, Kelantan) dan Zainun Taha, 69, dari Ampang Selangor.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • JEDDAH - ARAB SAUDI. Perbicaraan berhubung insiden kren runtuh yang meragut 111 nyawa jemaah dan mencederakan 238 lain pada 11 September lalu bakal berlangsung menjelang ketibaan musim haji pada kali ini.
  • JEDDAH - ARAB SAUDI. Pakar di Arab Saudi menegaskan kerajaan memerlukan badan khas untuk memantau keselamatan projek utama di negara itu bagi mengelakkan kemalangan sama yang berlaku di Masjidil Haram pada minggu lalu.
  • JEDDAH - [VIDEO] ARAB SAUDI. Pihak berkuasa Arab Saudi mengenakan sekatan ke atas syarikat pembinaan BinLaden Group, susulan tragedi kren tumbang di Masjidil Haram.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.