NEW DELHI - INDIA. Kumpulan perniagaan Indonesia dan India telah memeterai satu perjanjian hari ini bagi mempromosikan pengeluaran dan perdagangan minyak kelapa sawit.

Memorandum Persefahaman (MoU) itu telah ditandatangani di Jakarta oleh Persatuan Pengekstrak Pelarut (SEA) India, Lembaga Minyak Sawit Indonesia (DMSI) dan pertubuhan yang menyokong kelestarian seperti Solidaridad Network Asia Limited (SNAL).

MoU itu mengiktiraf  Kerangka Minyak Sawit Lestari Indonesia (ISPO) dan Rangka Kerja Kelestarian Minyak Sawit India (IPOS) "sebagai rangka kerja kelestarian yang sah untuk pengeluaran dan perdagangan minyak sawit' di antara kedua-dua negara.

"Diharapkan  kerjasama  sedemikian akan membawa kepada promosi bersama oleh IPOS dan ISPO dalam menyelaraskan  minyak sawit lestari di India, Indonesia serta pasaran lain melalui kesedaran di kalangan semua pemegang kepentingan termasuk pengguna,"  menurut satu kenyataan bersama.

Menteri Penyelaras Indonesia untuk Hal Ehwal Ekonomi, Darmin Nasution hadir di majlis menandatangani MoU itu dan menyambut delegasi industri minyak sawit India.

"Kerjasama  ini diharapkan dapat meningkatkan prestasi industri minyak  sawit negara terutama ketika berhadapan dengan cabaran-cabaran di pasaran antarabangsa khususnya di Eropah dan Amerika. Perkongsian ini akan menjadi titik permulaan untuk menggalakkan lebih banyak eksport minyak sawit ke India," kata Pengarah Eksekutif DMSI Iskandar Andi Nuhung.

Sementara itu, Presiden SEA Atul Chaturvedi berkata MoU itu akan menerajui jalan ke arah kelestarian berjangka panjang bagi sektor minyak sawit di rantau ini dengan mengurangkan halangan dan memudahkan peningkatan pengeluaran termasuk transaksi minyak sawit lestari.

Indonesia dan Malaysia adalah pembekal minyak kelapa sawit terbesar ke India, yang mempunyai anggaran permintaan sebanyak 23 juta tan untuk sepanjang tahun kewangan 2017-18. - Bernama