• Mahmoud Abbas Mahmoud Abbas
1 /

RAMALLAH - Presiden Palestin, Mahmoud Abbas yang disambut meriah susulan pengiktirafan status oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Khamis lalu, menyeru rakyatnya memperkukuhkan perpaduan susulan kejayaan memperoleh status negara pemerhati bukan anggota meskipun ditentang hebat oleh Israel dan Amerika Syarikat (AS).

"Mereka yang berhimpun merupakan orang-orang yang meraikan tarikh bersejarah 29 November, apabila dunia menulis sijil kelahiran Palestin yang mampu mendengar kehendak rakyat dalam proses perdamaian," kata beliau pada satu perhimpunan di Ramallah semalam.

Sebelum ini Palestin telah memohon untuk mendapat keahlian penuh PBB, tetapi gagal.

Mahmoud adalah sebahagian daripada anggota Fatah, yang menguasai Tebing Barat. Gaza pula dikuasai gerakan Hamas.

Mahmoud berkata, terdapat "banyak misi" yang bakal dilaksanakan di hadapan, dan perkara yang paling "penting ialah untuk memulihkan perpaduan negara dan mencapai perdamaian."

Dalam pada itu, Israel dan Amerika Syarikat (AS) telah mengecam langkah pihak berkuasa PBB, apabila Setiausaha Negara Hillary Clinton berkata, ia "satu langkah yang tidak akan membawa kita kepada keamanan."

Dalam respons terhadap langkah PBB, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu enggan menimbang semula rancangannya untuk membina beribu-ribu penempatan haram Yahudi di sempadan.

Dalam pada itu, AS dan beberapa negara-negara Eropah lain meminta Israel untuk mengkaji semula pelan penempatan di Tebing Barat dan Baitulmuqaddis Timur, yang telah diumumkan Jumaat lalu.