LONDON - BRITAIN. Sekurang-kurangnya seorang terbunuh dan 10 yang lain cedera selepas sebuah van merempuh jemaah berhampiran sebuah masjid di utara London pada awal pagi Isnin dan polis menyifatkan kes itu sebagai 'kejadian besar'.

Menurut pihak polis kejadian berlaku berhampiran Masjid Finsbury Park di Seven Sisters Road, lapor agensi berita China Xinhua.

Pemandu van berkenaan ditahan polis dan dihantar ke hospital untuk menjalani rawatan serta penilaian tahap kesihatan mental.

Perdana Menteri Britain Theresa May menyifatkan ia "kejadian dahsyat," dan mengucapkan takziah kepada mangsa yang cedera.

Akhbar Evening Standard melaporkan van yang "disewa" itu dipercayai terbabas ke kawasan kaki lima di Seven Sisters Road sejurus selepas tengah malam, seorang lelaki kemudian dikatakan keluar dari van berkenaan dan menikam seorang mangsa.

Jemaah cedera selepas dirempuh van

Menurut akhbar itu lagi, lelaki yang ditahan "berkulit putih dan berambut hitam".

Sementara itu, BBC melaporkan, Majlis Islam Britain (MCB) berkata, sebuah van dikatakan dengan "sengaja" merempuh jemaah masjid.

Kebanyakan mangsa dipercayai baru selesai berbuka puasa dan menunaikan solat Tarawih.

Timbalan Pengarah Operasi Perkhidmatan Ambulans London Kevin Bate berkata, beberapa krew ambulans, anggota paramedik dan pasukan pakar telah dihantar ke tempat kejadian.

Kejadian itu berlaku beberapa minggu selepas sebuah van dinaiki tiga militan merempuh pejalan kaki di London Bridge dan mengamuk dengan menikam orang ramai, mengorbankan lapan mangsa. Suspek kemudian mati ditembak polis. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :