JERLUN - Sejak beberapa hari lalu, tular gambar kereta baharu kegunaan Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir di laman sosial.

Ada yang mengaitkan dengan kemewahan apabila kereta baharu rasmi Mukhriz berjenama Volvo S90, malah sebahagian mengaitkan dengan kantung kerajaan negeri yang dikatakan kurang memberangsangkan.

Mukhriz ketika ditanya isu berkenaan menyifatkan apa yang dilakukan adalah suatu penjimatan perbelanjaan negeri, susulan kenderaan baharu itu dibeli pada harga murah setelah dua kereta lama dijual.

“Setelah diperiksa, terdapat beberapa kenderaan lama tidak digunakan sebab rosak, yang didaftarkan bawah pejabat Menteri Besar, saya buat keputusan lupuskan kenderaan itu secara trade in dan diganti kereta baru,” katanya.

Menurutnya, walaupun berjenama Volvo, ia buatan Malaysia kerana pemasangan komponen kereta itu dilakukan dalam negara.

“Sebab itu harganya tak terlalu mahal walaupun ia kereta hybrid. Ini juga menunjukkan kerajaan negeri prihatin isu alam sekitar dan cuba kurangkan penggunaan minyak dan pencemaran udara,” katanya.