BUTTERWORTH - Tiga lelaki didakwa secara berasingan di Mahkamah Sesyen Butterworth semalam atas tuduhan merogol wanita warga Indonesia berusia 24 tahun di Nibong Tebal minggu lalu.

Ketiga-tiga lelaki itu yang tidak diwakili peguam, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa.

Mengikut pertuduhan, Muhamad Redzuan Abdul Malek, 21, Muhamad Nabil Nayan, 22, dan Muhamad Ismail, 22, dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah rumah dekat Jalan Sungai Chenaam, Nibong Tebal, kira-kira jam 9.30 malam, 18 Mac lalu.

Dalam mahkamah berasingan, mereka juga mengaku tidak bersalah merompak beg tangan, wang tunai RM50, cincin emas dan telefon bimbit bernilai RM300 dari mangsa.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiganya bersama seorang suspek yang masih bebas melakukan kesalahan itu kira-kira jam 8.10 malam, pada hari yang sama di Permatang Tinggi.

Terdahulu, Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi tidak membenarkan tiga lelaki itu dilepaskan dengan jaminan dan menetapkan sebutan semula kes, pada 28 April ini.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S Selvaranjini.