BUKIT MERTAJAM - Bayaran serendah RM50 dikenakan kepada pelanggan yang mahu melakukan hubungan seks.

Harga itu ditawarkan sekumpulan wanita sebelum mereka ditahan oleh pegawai Jabatan Imigresen Pulau Pinang di dua buah rumah tumpangan di Jalan Aston dan Jalan Stesen, di sini, semalam.

Dalam serbuan yang dilakukan kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, seramai 13 wanita warga asing diberkas kerana terlibat dengan kegiatan pelacuran.

Timbalan Penolong Pengarah, Jabatan Imigresen Pulau Pinang, Fairos Ismail berkata, pemeriksaan mendapati kebanyakan mereka tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri untuk tinggal di negara ini.

“Pemeriksaan di rumah tumpangan di Jalan Aston berjaya menahan lima wanita Indonesia dan kita turut menemui beberapa kondom yang masih belum digunakan dan minyak pelincir yang dipercayai digunakan untuk kegiatan pelacuran.

“Manakala di lokasi serbuan kedua kita telah menahan enam perempuan Indonesia dan masing-masing seorang lelaki warga Myanmar dan Nepal di dalam premis berkenaan,” katanya kepada media di sini semalam.

Fairos berkata, pihaknya juga mengesan seorang wanita warga asing yang memiliki MyKad yang dipercayai palsu.

Katanya, selain cetakan gambar yang mencurigakan, terdapat juga kesilapan ejaan apabila perkataan Perempuan ditulis ‘Prempuan’.

“Kesemua yang ditahan berusia di antara 18 hingga 40 tahun dibawa ke Pejabat Imigresen di Seberang Jaya.

“Mereka akan disiasat di bawah seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 yang boleh membawa kepada hukuman denda tidak lebih dari RM10,000 atau penjara tidak lebih 5 tahun atau kedua duanya sekali,” katanya.

Sementara itu, dalam serbuan berasingan bersama penguat kuasa Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) di sebuah pusat hiburan di Megamall, seramai 34 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan.

Mereka terdiri daripada 33 lelaki Bangladesh dan seorang warganegara Nepal.

Fairos berkata, kesemua mereka merupakan pekerja pusat hiburan berkenaan dan hasil pemeriksaan mendapati ada di kalangan mereka yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri selain ada yang tinggal melebihi masa yang dibenarkan.

“MPSP juga telah mengeluarkan kompaun atas kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • MERSING - Golongan muda hari ini terutama dalam kalangan pelajar sekolah rata-rata menyedari mengenai bahaya melakukan hubungan seks rambang atau luar nikah, namun kurang menerima pendedahan yang sewajarnya.
  • ALOR SETAR - Polis menyelamatkan tiga wanita warga Thailand yang dipercayai menjadi mangsa eksploitasi seks di sebuah hotel bajet di Jalan Lengkok Sari, di sini semalam.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.