SEBERANG JAYA -  Sebanyak 5,100 pokok Golden Penda ditanam serentak di sekitar Seberang Perai pagi semalam dalam merealisasikan hasrat kerajaan negeri bagi menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri hijau.

Program yang diadakan bersempena dengan sambutan kemerdekaan ke 61 itu adalah kesinambungan daripada projek penanaman 3,002 pokok teduhan Tecoma yang dilancarkan oleh bekas Ketua Menteri, Lim Guan Eng pada 27 Ogos tahun lalu.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, program berkenaan adalah sebahagian daripada hasrat kerajaan untuk mewujudkan suasana persekitaran yang segar dan nyaman selain memberi kesedaran menghijaukan bumi serta memelihara alam sekitar.

Menurutnya, usaha penanaman pokok teduhan adalah selaras dengan komitmen Malaysia untuk memastikan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keluasan tanah negara dilitupi kawasan berhutan, seperti yang dinyatakan semasa Persidangan Rio pada tahun 1992.

"Golden Penda merupakan pokok teduhan dari jenis Xanthostemon Chrysanthus, berasal dari Australia.

"Pokok ini dipilih dalam projek penanaman pokok teduhan berdasarkan sistem pengakaran yang baik selain hanya memerlukan kerja penyelenggaraan minimum berbanding dengan pokok lain,"katanya ketika melancarkan projek penanaman pokok berkenaan di Padang Taman Semilang di sini pagi semalam.

Kon Yeow (tengah) bersama Rozali (dua,kanan) menunjukkan sijil Malaysia Book Of Records yang diterima.

Turut hadir,Exco Alam Sekitar, Phee Boon Poh; Adun Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) Datuk Sr Rozali Mohamud.

Dalam majlis berkenaan, sebanyak 350 pohon Golden Penda ditanam di taman awam berkenaan dan selebihnya ditanam di beberapa lokasi lain di seluruh kawasan Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan.

Turut menjadi lokasi pilihan penanaman pokok terbabit di 38 buah sekolah di kawasan Seberang Perai yang telah memenangi Anugerah Sekolah Hijau sebelum ini.

Kesemua pokok yang ditanam disumbangkan oleh Ahli MPSP, syarikat pemaju hartanah dan Jabatan Landskap MPSP.

Program berkenaan turut mendapat pengiktirafan Malaysia Book Of Record sebagai pokok terbanyak yang ditanam secara serentak semalam.