ALOR SETAR - Malang berganda buat sebuah keluarga mangsa kebakaran di Kampung Guar Jumaat, dekat sini apabila anak bongsu disahkan menghadapi masalah kesihatan.

Pesara tentera, Ibrahim Abdullah, 49, berkata, dia lapan beranak tinggal sehelai sepinggang apabila rumah pusaka keluarga terbakar tahun lepas.

"Akibat kebakaran itu, kami menanggung kerugian hampir RM200,000 melibatkan perkakas rumah dan peralatan kerja.

"Sudahlah, isteri, Siti Eshah Noh, 41, ada kencing manis dan anak kelima, Nurul Izzatul An Nissa Nasuha, 12, ada asma," katanya.

Kini, katanya, anak bongsu, Nurul Ijla Nazirah, 5, pula disahkan mengidap penyakit diabetes 'type 1'dan perlu disuntik ubat enam, tujuh kali sehari.

Menurutnya, dia buntu memikirkan kos diperlukan Ijla yang mencecah RM1,000 sebulan demi menampung keperluan ubat-ubatannya.

Katanya, dia tidak berkemampuan kerana tidak memiliki pendapatan tetap yang bergantung kepada permintaan orang semata-mata untuk membuat rumah.

"Ada orang panggil, dapatlah pendapatan sekitar RM800 sebulan. Isteri memang membantu dengan berniaga kecil-kecilan di hadapan sekolah. Tapi, manalah cukup," katanya.

Untuk itu, katanya, mereka merayu bantuan orang ramai untuk membantu menampung kos ubat-ubatan dan keperluan anak perempuan setiap bulan.

Malah, katanya, dia yang menumpang di rumah keluarga berdekatan rumah pusaka yang musnah dalam kebakaran itu, memohon supaya ia dapat dibina semula demi keselamatan dan keselesaan mereka sekeluarga.

Orang ramai ingin menyalurkan sumbangan boleh menghubungi Eshah ditalian 017-4289783 atau melalui akaun Maybank miliknya, 105074063836.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SUNGAI PETANI - Seorang isteri terpaksa bekerja sendirian bagi menampung keperluan suami yang terlantar akibat strok dan tiga anak lelaki berusia empat hingga 13 tahun.
  • KLUANG - Seorang ibu terpaksa berhenti kerja demi memberi perhatian sepenuhnya kepada anak sulungnya, Mohd Zaki Hanafi, 16, yang koma sejak sebulan lalu akibat kemalangan jalan raya.
  • POKOK SENA - Seorang jemaah umrah dari Kampung Bukit Larek sayu mengenangkan nasib suaminya, Mangsor Shaari, 64, yang masih dirawat di Hospital King Faisal, Makkah.
  • KUALA KRAI - Tiada siapa sangka kemalangan yang hanya menyebabkan luka kecil pada lutut dua tahun lalu bakal memberikan kesan besar dalam hidup seorang gadis di sini.
  • RANTAU PANJANG - Sangkaan sakit pinggang yang dialami seorang jurujual pasar raya kerana penat bekerja meleset sama sekali apabila dia disahkan kedua-dua buah pinggangnya rosak.