KUALA NERANG - Kementerian Pendidikan menyambut baik rancangan kerajaan untuk menubuhkan sekolah tahfiz yang memberi peluang pelajarnya mengikuti akademik serta kemahiran untuk membantu mereka mendapatkan sijil.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, sehingga kini ramai pelajar tahfiz sukar untuk mendapat pekerjaan selepas mereka tamat persekolahan kerana tidak mempunyai sebarang sijil akademik.

“Sebelum ini Timbalan Perdana Menteri , Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ada mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa peringkat tertinggi berkaitan sekolah tahfiz sama ada swasta mahupun kerajaan.

“Beliau telah bersetuju untuk membina sebuah sekolah khas yang mempunyai kemahiran kepada pelajar tahfiz di Bagan Datuk, Perak. Langkah membina sekolah itu bertujuan para tahfiz  boleh mendapat sijil akademik serta pelbagai kemahiran yang boleh terdapat pada silibus sekolah itu nanti.

“Ini membuktikan kerajaan sentiasa memantau dan membantu para tahfiz  supaya mereka berjaya seperti juga pelajar di sekolah kerajaan hari ini. Kerajaan sentiasa mengangkat martabat para hafiz ini supaya mereka berjaya di dunia dan akhirat,’ katanya.

Sebelum itu Mahdzir menyampaikan sumbangan kepada pesara guru, kakitangan sekolah, anak yatim dan miskin sempena Program Ziarah Kasih anjuran Bikers Guru 1Malaysia di Sekolah Kebangsaan Padang Terap hari ini.

Mahdzir berkata, pihaknya sentiasa bersedia membantu kerajaan bagi membolehkan pelajar tahfiz yang tercicir akademik untuk mendapatkan sijil.

Melalui Kementerian Pendidikan, pihaknya mempunyai pengalaman bagi pelajar tahfiz mempelajari akademik dan agama melalui sekolah kebangsaan agama yang ada sekarang ini.

“Kini kementerian mempunyai sebanyak 14 sekolah aliran Ulul Albab yang membolehkan pelajar dapat menguasai tahfiz dan sains tulen. Setiap tahun kita berjaya melahirkan ramai  tahfiz yang mempunyai akademik dan boleh dibanggakan.

“Ini adalah disebabkan kita mempunyai tenaga guru yang cukup serta berpengalaman bagi memberi pembelajaran kepada pelajar. Oleh itu kementerian sangat mengalu-alukan cadangan kerajaan bagi menubuhkan sekolah itu,” katanya.