KULIM - Prihatin dengan masalah dihadapi murid di sebuah sekolah yang terletak di kawasan pedalaman, sekumpulan pelajar institusi pengajian tinggi awam nekad memotivasikan mereka.

Pengarah program, Nur Izzati Mohamad Idris berkata, seramai 19 murid yang belajar di sebuah sekolah dekat Malau di sini dibantu dari segi pembelajaran mereka.

Menurutnya, kedudukan sekolah di kawasan pedalaman dibimbangi akan mengurangkan motivasi murid yang belajar di situ.

"Kita daripada beberapa IPTA tempatan iaitu UiTM Merbuk dan sekolah di Thailand bekerjasama untuk mengadakan program di sekolah tersebut.

"Program ini akan meningkatkan motivasi murid di situ yang kurang pendedahan dengan dunia luar dan dibimbangi mereka kurang bermotivasi dalam pelajaran.

"Masalah kurang motivasi ini akan memberi kesan kepada pencapaian mereka dan kurang minat kepada pelajaran yang diajar guru," katanya.

Katanya, program tersebut juga diisi dengan pelbagai program yang boleh membangkitkan semula semangat dan jati diri murid di sekolah terbabit.

"Kita adakan seminar motivasi melalui video ia lebih interaktif dan lebih mudah murid ini faham selain aktiviti berkumpulan.

"Semua aktiviti diharap dapat membantu mereka dari segi perkembangan minda dan fizikal untuk terus maju dalam pelajaran," katanya.