KUALA MUDA - Kira-kira 400 pekerja dari sebuah syarikat menghasilkan komponen kenderaan di sini mengadakan bantahan aman berhubung masalah gaji pokok dan elaun pekerja selain isu pekerja kontrak yang berlarutan.

Bantahan di tepi Jalan Persekutuan Butterworth-Sungai Petani dekat kawasan perusahaan Tikam Batu petang kelmarin itu dibuat kali kedua setelah perbincangan antara majikan dan pekerja tidak mendapat mencapai kata sepakat.

Menurut maklumat, sebelum ini, gaji pokok beranggaran RM650 dan elaun kira-kira RM130 diasingkan tetapi sejak 2013, gaji pokok yang dinaikkan dan elaun digabungkan menjadi RM900.

Pengerusi Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Perusahaan Alat-alat Pengangkutan dan Sekutu (NUTEAIW), Anuar Suid berkata, kira-kira 700 pekerja menerima kesan akibat daripada keengganan majikan mengikuti saranan kerajaan yang menetapkan gaji minimum terbabit.

“Bagaimanapun, tindakan majikan menggabungkan gaji pokok dan elaun adalah melanggar syarat dan perjanjian yang dibuat sebelum ini,” katanya.

Menurutnya, selain isu gaji minimum, pekerja juga membantah tindakan majikan mengambil pekerja kontrak secara bulanan yang ternyata menganiaya pekerja dengan meminta jawatan kontrak diserap ke jawatan tetap.

“Isu pekerja kontrak sebulan juga sepatutnya diperbaiki kerana keadaan ini tidak dapat memberi sebarang jaminan pekerjaan sekiranya kontrak pekerja tidak disambung seperti yang pernah berlaku sebelum ini.

“Kira-kira 60 peratus pekerja mempunyai komitmen keluarga dan lain-lain, bagaimanapun, status kontrak ini menyukarkan urusan dengan institusi kewangan dan sebagainya,” katanya.

Katanya, perbincangan yang diatur di Pejabat Perusahaan Pulau Pinang antara wakil kesatuan dan majikan pada 28 Februari ini diharapkan akan ada penyelesaian positif kepada kedua-dua pihak.

“Kita berharap majikan bersikap lebih terbuka dengan mengambil kira kebajikan pekerja selain mematuhi perjanjian yang sudah dipersetujui,” katanya.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.