KULIM - Pengusaha teksi, peniaga dan penjual tiket bas tertanya-tanya tarikh sebenar mereka perlu berpindah ke tapak sementara untuk memberi laluan kerja menaik taraf stesen bas di sini yang sepatutnya pada pertengahan Mac.

Pengerusi Persatuan Tuan-Tuan Ampunya Kereta Sewa Bandar Kulim, Ahmad Husny Hussien berkata, setakat hari ini, pemandu dan persatuan masih tidak menerima sebarang arahan untuk berpindah ke tapak sementara.

“Dulu kami dimaklumkan akan dipindahkan pada bulan ini, tapi sehingga kini tak ada apa-apa, kami juga tertanya-tanya bila.

“Pada kami tak ada masalah, cuma bila sudah berjanji itu kita nak tuntut juga. Kami pun tertunggu juga nak tengok bangunan baharu kerana ia baik juga untuk kami pemandu di sini,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, kawasan yang akan menjadi tempat operasi sementara teksi juga masih belum diturap seperti yang diberitahu pihak terbabit.

“Setakat ini, tapak sementara untuk operasi teksi pun tak diturap lagi, kalau nak pindah tapak teksi itu perlu lah seperti yang dijanjikan,” katanya.

Selain itu, seorang peniaga yang enggan namanya dikenali berkata, dia juga masih tidak mendapat sebarang notis untuk mereka berpindah ke gerai sementara.

“Saya pun tak tahu, depa senyap saja. Depa kata dulu 1 Mac kami peniaga kena pindah pi kedai sementara di sana, tapi sampai hari ini tak ada notis,” ujarnya.

Katanya, pihak peniaga juga gusar dengan keluasan kedai sementara yang terlalu kecil dan hanya boleh memuatkan dua meja makan.

“Tengok luas kedai pun kami tak puas hati juga, kalau kecil tu berapa meja saja boleh letak, berapa ramai pelanggan boleh duduk.

“Habis itu kami nak kena ubah suai dapur lagi untuk masak, untuk keselesaan sebab nak duduk situ lama juga,” katanya.

Manakala seorang penjaga kaunter tiket bas yang namanya enggan dikenali pula berkata, mereka juga masih menunggu arahan untuk berpindah.

“Kami pun sedang tunggu juga, nak baiki apa yang rosak pun tak boleh sebab nak tunggu berpindah dulu. Saya harap ia dipercepatkan dan mengikut pelan yang telah diumumkan,” katanya.

Dalam pada itu, Adun Kulim, Chua Thiong Gee berkata, dalam pembangunan terjadi masalah kelewatan satu atau dua bulan bukan isu besar.

“Kalau satu atau dua bulan lewat dalam pembangunan bukan isu besar, apa yang penting akhirnya stesen bas Kulim itu siap dengan kualiti yang setaraf dengan status bandaraya.

“Kualiti ini penting untuk kita yakinkan bukan saja penduduk tempatan tapi orang luar, kita tahu ada segelintir pihak sering mengambil peluang menjaja isu kelewatan ini,” ujarnya.

Katanya, perkhidmatan pengangkutan awam ini sangat penting termasuk dari segi kemudahan parkir, tandas selain kebersihan gerai makanan juga perlu diambil kira.

“Kita bukan saja nak bangunkan, nak buat bangunan baharu tapi nak pastikan semua teratur, rapi dan terancang dalam segala aspek termasuk kebersihan gerai, ini juga penting,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan, peniaga di medan selera dan pengendali bas serta teksi akan mula berpindah ke tapak sementara berhampiran bermula 1 Mac bagi memberi laluan naik taraf stesen bas.

Pengarah Jabatan Kejuruteraan Majlis Perbandaran Kulim (MPKK), Muhamad Tarmymy Che Ani berkata, pemindahan tersebut merupakan langkah pertama dalam kerja pembinaan terminal bas yang bernilai RM2.5 juta dan fasa pertama bernilai RM990,000 yang bermula pertengahan Mac.