ALOR SETAR - Makam dipercayai milik Sultan Kedah pertama, Sultan Al-Mudzaffar Shah I dianggarkan berusia 839 tahun dijumpai di Kota Bukit Meriam di daerah Kuala Muda.

Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK), Datuk Wan Shamsuddin Mohd Yusoff berkata, pihaknya kini menemui lokasi sebenar makam Paduka Sri Darbar Raja yang merupakan raja pertama memeluk Islam dengan memakai gelaran Sultan Al-Mudzaffar Shah I itu.

Wan Shamsuddin berkata, dengan penemuan terbaharu terbabit, makam yang sebelum ini dipercayai milik Sultan Kedah pertama terletak di Kampung Langgar, Lembah Bujang berkemungkinan milik kerabat Diraja.

“Sultan Al-Mudzaffar Shah I memeluk Islam pada 1136 sebelum mangkat pada 1179 sebelum digantikan Sultan Mu’adzam Shah (1179-1202), diikuti Sultan Muhammad Shah (1202-1236).

“Ketiga Sultan Kedah berkenaan merupakan pemerintah Kota Bukit Meriam, sebelum pusat pentadbiran berpindah ke Kota Sungai Emas,” katanya di Pejabat PSMCK, di sini, semalam.

Tambahnya, Sultan Al-Mudzaffar Shah I antara orang bertanggungjawab mengembangkan Islam di Kedah selepas memeluk Islam dengan bantuan Syeikh Abdullah Yamani.

“Ketika pemerintahannya, Sultan Al-Mudzaffar Shah I memerintahkan sebuah menara azan didirikan Syeikh Abdullah Yamani di puncak Gunung Jerai,” katanya.

Kata beliau, Sultan Al-Mudzaffar Shah I memanjat Gunung Jerai sebanyak dua kali iaitu semasa melihat pembinaan menara azan dan ketika Syeikh Abdullah Yamani sakit.

“Bagaimanapun, Syeikh Abdullah Yamani meninggal dunia sebelum sempat menyiapkan menara azan berkenaan dan disemadikan di puncak Gunung Jerai dan pembinaan diteruskan Pegawai Daerah Kuala Muda ketika itu,” katanya.

Katanya, penemuan di lokasi terbaharu berkenaan membuktikan makam Sultan Al-Mudzaffar Shah I yang mangkat pada 20 Julai 1179 sememangnya dimakamkan di Langgar Bukit Meriam.

Kata beliau, makam berkenaan sudah lama ditemui penduduk berdekatan Kota Bukit Meriam, bagaimanapun mereka tidak mengetahui pemilik sebenar kubur lama yang terbiar tanpa penjagaan tersebut.

“Kira-kira tiga bulan lepas, imam Masjid Sintok Bugis mengambil inisiatif memindahkan makam lama berkenaan dari lokasi asal ke tanah perkuburan Masjid Sintok Bugis kerana bimbang terus terbiar sebelum memaklumkan pada PSMCK,” katanya.

Katanya, Biro Kajiselidik PSMCK kemudian turun padang ke kawasan berkenaan pada 2 Julai lepas untuk kajian awal dan percaya makam menggunakan batu nisan batu kawi adalah lokasi sebenar makam Sultan Kedah pertama itu.

“Kita akan turun semula ke kawasan berkenaan Jumaat ini bagi membuktikan lebih lanjut bahawa ia makam milik Sultan Kedah yang pertama. Dengan penemuan itu, PSMCK yakin makam Sultan Kedah ke-2 dan Sultan Kedah ke-3 juga akan ditemui nanti,” katanya.

Pada Mac 2017, PSMCK membuat penemuan makam Sultan Kedah ke-14, Sultan Muhyiddin Mansur Shah di Kampung Chegar, mukim Jeram di Jitra, diikuti penemuan makam dipercayai milik Sultan Kedah ke-16, Sultan Ataullah Muhammad Syah II di Bukit Pinang pada April.

Pada Mei tahun sama, PSMCK membuat penemuan ketiga terbesar apabila menemui makam dipercayai milik Sultan Kedah ke-19, Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin II dan permaisurinya, Tunku Puteri Almarhum Tunku Ishak di Anak Bukit.