ALOR SETAR - Langkawi bakal menjadi hub perikanan terbesar Asia Tenggara dengan meneroka  projek ternakan ikan dalam sangkar, yang diusahakan dengan kerjasama sebuah syarikat dari Singapura.

Exco Pertanian dan Asas Tani, Datuk Suraya Yaacob berkata, Fishance Berhad membuat pelaburan awal bernilai US$12 juta (RM52 juta) dengan menyasarkan penternakan ikan sebanyak lebih 100,000 tan setahun.

“Syarikat penternakan ikan dalam sangkar terbesar di Langkawi ini memiliki kepakaran dalam bidang perladangan ikan dan diyakini dapat membantu merealisasikan hasrat menjadikan Langkawi sebagai hub perikanan terbesar Asia Tenggara,” katanya, selepas majlis penyerahan Fi Komitmen dan bayaran royalti daripada Fishance Berhad kepada kerajaan negeri di Wisma Darul Aman, semalam.

Pada majlis itu, kerajaan negeri diwakili Suraya menerima Fi Komitmen sebanyak RM755,000 dan royalti RM540,000 di mana nilai keseluruhan RM1.295 juta daripada Ketua Pegawai Eksekutif Fishance Berhad, Alexey Dorin.

Suraya berkata, sebanyak 3,000 sangkar ternakan dibina di Pulau Langgun, berdekatan Kilim bagi menternak ikan antaranya Siakap dan Kakap.

“Sekitar 25 peratus bekalan ikan akan dijual di pasaran dalam negara manakala 75 peratus lagi dieksport ke luar negara. Penghasilan ikan ini juga sebagai jaminan sekuriti makanan negara di mana sumber ikan di laut tidak lagi mencukupi jika kita tidak mula menternaknya,” katanya.

Menurutnya, pengeluaran ikan dalam sangkar antara alternatif terbaik di mana pengambilan ikan bagi rakyat Malaysia adalah tinggi, iaitu sekitar 54 kilogram/seorang dalam setahun.

“Teknologi yang digunakan adalah gabungan pelbagai negara dengan menggunakan sangkar laut dalam berbentuk bulat seperti di Taiwan, di mana kita belum lagi mencuba kaedah ini. Syarikat ini juga mengusahakan sendiri tempat pembenihan ikan di Pulau Tuba dan dalam perancangan membina kilang makanan ikan,” katanya.

Suraya berkata, industri ini dijangka bakal melonjakkan pendapatan negeri dan penyumbang kepada KDNK Kedah.

Sementara Exco Pelancongan, Datuk Mohd Rawi Abd Hamid berkata, projek ini diyakini tidak menjejaskan ekosistem perairan Langkawi dan pihaknya akan memastikan sektor pelancongan tidak  terjejas.

“Projek ini akan beri impak besar kepada industri pelancongan dan makanan. Langkawi tetap menjadi pusat pelancongan kerana kita akan seimbangkan pembangunan sektor industri dengan pelancongan agar keunikan pulau tidak terjejas,” katanya.

Menurutnya, sektor pelancongan dan perhotelan juga beroleh manfaat apabila dijamin memperoleh bekalan ikan segar sepanjang masa.

“Sektor perhotelan perlukan bekalan ikan yang konsisten, difahamkan syarikat itu juga bakal  ceburi ternakan udang karang yang mendapat permintaan tinggi pelancong,” katanya.

Sementara, Alexey Dorin berkata, syarikat itu menggunakan kepakaran pengetahuan dan teknologi canggih bagi memastikan hasrat kerajaan negeri menjadikan Langkawi sebagai hub perikanan tercapai.

“Sudah tiba masa Langkawi mengorak langkah dalam industri perladangan ikan, yang cukup dikenali di China, Taiwan dan Filipina,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.