$entry.content.caption.value
ALOR SETAR - Seorang penuntut ditahan gara-gara mengeluarkan kenyataan mengancam nyawa Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak melalui laman sosial ‘facebook’ miliknya.
Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim berkata, kegiatan penuntut sebuah Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) daerah Kuala Muda berkenaan dikesan setelah polis menerima laporan dari Sungai Petani, pada jam 10 malam kelmarin.
Menurutnya, berdasarkan siasatan awal polis mendapati terdapat ayat-ayat lucah dan ugutan terhadap pemimpin negara itu pada laman sosial milik penuntut berusia 20 tahun berkenaan.
“Kita memanggil penuntut terbabit ke balai polis sekitar jam 9 pagi tadi (semalam) untuk diambil keterangan berhubung perkara itu dan ibu bapanya turut dihubungi serta dipanggil bagi membantu siasatan.
“Barangan miliknya seperti telefon serta komputer riba turut dirampas untuk membolehkan siasatan lebih terperinci dapat dilaksanakan,” katanya kepada media di Mes Pegawai Kanan Polis Kontinjen Kedah, malam tadi.
Ahmad berkata, bagaimanapun penuntut tahun kedua IPTS berkenaan dibebaskan lewat petang semalam setelah mereka berpuas hati dengan segala keterangan yang dikemukakan.
“Bagaimanapun kita sudah mendapat persetujuan daripada kedua orang tuanya untuk memanggil semula penuntut berkenaan pada bila-bila masa semula sekiranya diperlukan kerana dia kini sedang menduduki peperiksaan.
“Dalam masa sama, kita masih menyiasat satu pihak lagi yang boleh membantu dalam siasatan ini,” katanya.
Katanya, kes akan disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kata-kata berbaur ugutan.
“Kita juga menasihatkan kepada pengguna laman sosial lain supaya lebih berwaspada dan tidak sewenang-wenangnya mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada orang lain.
“Sekiranya didapati bersalah, tindakan tegas boleh diambil dan kes akan dibawa ke mahkamah,” katanya.





