PENDANG - Jumlah kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Kedah semakin meningkat.

Menurut Pengarah Jabatan kesihatan Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail, sehingga 7 Julai, jumlah kes yang dilaporkan adalah sebanyak 834 kes berbanding 630 kes pada tempoh yang sama pada tahun lalu.

Katanya, jumlah ini menunjukkan peningkatan sebanyak 32.4 peratus dan ia merupakan satu jumlah yang tinggi.

"Daerah Pendang mencatatkan peningkatan kes HFMD paling tinggi iaitu 120.7 peratus di ikuti Langkawi 118.8 peratus dan Kuala Muda 105.3 peratus," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurut Norhizan, penyakit HFMD mudah berjangkit di kalangan kanak-kanak yang berada di pusat jagaan dan sekolah kerana berlakunya "close contact'.

"Namun begitu, sehingga kini tiada pusat jagaan atau sekolah di Kedah yang ditutup dan tiada jangkitan yang serius sehingga menyebabkan kematian dilapor," katanya.

Norhizan berkata, majoriti kes HFMD berlaku disebabkan oleh Coxsackie Virus A16 dan Enterovirus-71 (EV71).

"Virus ini merebak secara perhubungan dengan air liur dan cecair lepuh (blister)," katanya.

"Kebiasaan jangkitan adalah ringan dengan gejala demam diikuti ruam melepuh (blister) pada tangan, kaki, mulut dan lidah.

"Hampir keseluruhan pesakit yang menghidap penyakit HFMD pulih tanpa rawatan dalam masa tujuh ke 10 hari.

"Bagaimanapun, jangkitan EV71 boleh menyebabkan komplikasi teruk seperti Encephalitis, Pulmonary Edema dan Myocarditis," katanya.

Tegasnya, tiada ubat atau vaksin yang boleh mencegah jangkitan penyakit HFMD namun begitu bagi menghalang penularan virus HFMD, Jabatan Kesihatan Kedah menggesa orang ramai khususnya pengusaha dan penjaga kanak-kanak di taska dan sekolah agar sentiasa menjaga kebersihan.