YAN - Jambatan Pulau Bunting ditutup sepenuhnya kepada orang awam mulai hari ini dan selepas mesyuarat penyelaras Dun mempertimbangkan beberapa faktor.

Penyelaras Dun Sungai Limau, Zahran Abdullah berkata, keputusan diambil selepas mesyuarat pihak penyelaras Dun bersama pemilik jambatan iaitu SKS Ventures Sdn Bhd, Jabatan Kerja Raya, Majlis Daerah Yan dan polis pada 19 November lalu.

“Faktor utama kita menutup jambatan ini adalah masalah keselamatan selain jambatan tidak pernah diselenggarakan sejak ia siap dibina pada 2008 dan pihak pemilik tidak pernah mengeluarkan kebenaran kepada mana-mana pihak untuk mengurus atau selenggara jambatan tersebut.

Sampah sarap di jambatan berkenaan yang tidak pernah diselenggarakan sejak dibina pada 2008.

“Kita bimbang keselamatan pengunjung yang datang ke Pulau Bunting itu kerana struktur kabel yang memegang jambatan tersebut tidak lagi kukuh memandangkan ia nya terdedah pada udara air laut yang menyebabkan karat dan sebagainya,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, dasar laut di bawah jambatan tersebut adalah selut yang boleh berubah strukturnya pada setiap masa.

“Kita tidak mahu mengambil risiko daripada berlakunya keadaan yang tidak diingini pada masa akan datang. Tahap kebersihan di atas jambatan ini pula sangat mengecewakan apabila pengunjung yang datang membuang sampah sarap di merata tempat.

“Penutup longkang di jambatan berkenaan juga diangkat dan diletakkan di merata tempat sehingga ada yang membalingnya ke dalam laut. Sikap sebegini perlu diubah bagi memastikan Yan sebagai daerah pelancongan yang bersih dan selamat,” katanya.