GEORGETOWN - Tindakan Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang mempergunakan kanak-kanak dalam agenda politiknya disifatkan sebagai tidak cerdik dan tidak matang.

Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang, Rafizal Abdul Rahim berkata, sebagai pemimpin tertinggi Kerajaan Pulau Pinang, Guan Eng sepatutnya berpolitik secara matang dan bukan memilih untuk meracuni pemikiran kanak-kanak yang masih belum mengerti politik.

“Jika dia berani, berpolitiklah dengan orang yang sepatutnya, bukannya memilih kanak-kanak.

“Tindakan merosakkan pemikiran kanak-kanak dengan politik amat dikesali. Peringkat umur mereka, bukan masanya lagi untuk berpolitik,” katanya ketika dihubungi.

Rafizal berkata, tindakan tidak bermoral itu merupakan wajah sebenar DAP sekiranya memerintah negara kelak.

“Rakyat khususnya di Pulau Pinang sepatutnya sedar, jika DAP dibiarkan diberi kuasa memerintah, maka inilah antara kerosakan yang akan berlaku. Mereka sanggup buat apa sahaja termasuk mencampur aduk antara isu pendidikan dengan politik.

“Kita (Umno) pun boleh buat, masuk sekolah, mendekati kanak-kanak dengan meracuni pemikiran mereka bahawa kerajaan negeri yang dipimpin DAP adalah zalim,” katanya.

Rafizal berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Guan Eng menyanyikan lagu bermelodi ABC yang diubah liriknya kepada GST dan berbaur politik ketika melancarkan Pusat Tuisyen Rakyat di Flat Mutiara Idaman 2, Jelutong, Sabtu lalu.

Didapati, rakaman video berdurasi 32 saat yang menunjukkan Guan Eng menyanyikan lagu bermelodi ABC di hadapan murid sekolah itu kini tular di media sosial dan mendapat pelbagai reaksi yang kebanyakkannya menyelar tindakan tersebut.

Difahamkan, sejak Ahad lalu, beberapa laporan polis dibuat ke atas Guan Eng kerana tindakannya itu.

Sementara itu, polis sudah membuka kertas siasatan ke atas Guan Eng kerana didakwa cuba mengeksploitasi kanak-kanak demi kepentingan politik di sebuah pusat tuisyen.