GEORGETOWN - Dua buah sekolah ditutup di Pulau Pinang berikutan jangkitan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di kalangan kanak-kanak dan pelajar sekolah.

Exco Kesihatan, Dr Afif Bahardin berkata, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Shih Chung dan Sekolah Antarabangsa Tenbi diarahkan tutup sepenuhnya selepas jangkitan penyakit itu dikesan di kedua-dua sekolah terbabit.

Menurutnya, di SJKC Phor Tay, hanya enam kelas ditutup manakala SJKC Chung San dan SJKC Sum Sun masih dipantau untuk diambil keputusan.

"Bilangan keseluruhan fasiliti yang diarahkan tutup sejak Januari lalu adalah 61 namun hanya 17 yang ditutup sehingga kini.

Sehingga 10 Julai, dua sekolah rendah, 13 tadika serta sebuah pusat jagaan dan sebuah taska diarahkan tutup.Dua buah sekolah yang terbaru (diarahkan tutup) tengahari semalam belum dimasukkan ke dalam data," katanya kepada media tadi.

Tambahnya, sehingga 28 Mei lalu, jumlah yang dilaporkan sebanyak 21 ,644 berbanding 19,398 kes dalam tempoh sama pada tahun lalu.

"Sehingga 10 Julai lalu, Jabatan Kesihatan Pulau Pinang merekodkan 1,679 kes HFMD berbanding hanya 1,073 kes pada tempoh sama pada tahun lalu. Iaitu, peningkatan sebanyak 56.6 peratus.

"Sehingga kini, hanya empat pesakit masih dirawat di hospital iaitu dua di Hospital Pulau Pinang dan dua di Hospital Seberang Jaya," katanya.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Pulau Pinang, Dr Wan Mansor Hamzah berkata, peningkatan HFMD di negeri ini ketara namun masih terkawal.

Menurutnya, sehingga kini, 622 daripada 854 fasiliti dipantau dan dijalankan ujian saringan ke atas kanak-kanak di seluruh Pulau Pinang.

"Walaupun peratusan kes meningkat 56.47 peratus berbanding tahun lalu, namun ia masih terkawal. Tidak perlu bimbang.

"Cuma kita perlu kerjasama dari ibu bapa atau penjaga tidak membawa keluar anak mereka yang dijangkiti HFMD ke tempat awam," katanya.