SUNGAI PETANI - Dua pengawal keselamatan mengalami kecederaan setelah diserang  sekumpulan lelaki bermotosikal di hadapan sebuah perpustakaan di Jalan Kolam Air dekat sini awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Saifi Abdul Hamid berkata, kejadian pada jam 5.45 pagi itu dipercayai berlaku sewaktu pengawal keselamatan berusia 39 tahun itu didatangi sekumpulan lelaki menaiki 20 motosikal selepas dia selesai meletakkan kon di hadapan pagar perpustakaan itu.

"Siasatan mendapati, seorang suspek bertanya kepada mangsa, "pondan takda ke?", dan selepas mangsa menjawab “tiada”, tiba-tiba seorang suspek yang lain, menendang mangsa di bahagian bahu kanan dan kemudian mereka beredar dari tempat kejadian.

"Selepas itu mangsa  menjerit memanggil rakan sekerjanya berusia 27 tahun, yang berada lebih kurang 10 meter dari situ.

"Namun lima minit kemudian suspek datang kembali, mangsa bertanya apa kesalahannya bagaimanapun seorang suspek yang tidak berpuas hati turun dari motosikal lalu memukul kepala mangsa menggunakan topi keledar," katanya dalam kenyataan hari ini.

Saifi berkata, seorang lagi suspek menuju ke pos pengawal dan mengambil parang panjang yang ada di situ lalu mengacukannya ke arah mangsa namun rakannya yang melihat kejadian itu bertindak menepis tangan suspek menyebabkan hulu parang  itu terkena siku kirinya.

Menurutnya, berikutan kejadian itu, mangsa pertama mengalami lebam pada kepala dan bahu kanan manakala rakan sekerjanya mengalami lebam pada siku kiri namun kedua-dua mangsa tidak dapat mengecam muka suspek kerana memakai topi keledar termasuk keadaan gelap.

"Siasatan juga mendapati hanya tiga hingga lima suspek sahaja yang bertindak memukul mangsa manakala yang lain hanya memerhati, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan," katanya. – Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • BUKIT MERTAJAM - Dua lelaki dipercayai geng pecah rumah, samun dan curi motosikal ditahan polis dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Manis, Perai dekat sini semalam.
  • KOTA KINABALU - Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah menahan 82 individu dalam Operasi Sarang Khas hari ini kerana dipercayai terlibat dalam penyalahgunaan dadah.
  • KOTA KINABALU - Polis percaya kumpulan lelaki bersenjata, yang menyerang sebuah bot nelayan di Segama, Kinabatangan baru-baru ini, bukan anggota kumpulan militan.
  • IPOH - Dua lelaki, seorang daripadanya remaja berusia 18 tahun ditahan bersama 100 bungkusan air ketum dalam satu serbuan di sebuah rumah di Taman Raia Mesra, Simpang Pulai, semalam.
  • MIRI - Seorang majikan bersama 31 warga asing, termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun, adalah antara yang ditahan di dua lokasi berasingan dalam operasi bersepadu semalam.