BALIK PULAU - Adun Pulau Betong, Muhamad Farid Saad menempelak DAP dengan melabelkan parti itu sebagai tidak sependapat apabila mendapati wujudnya percanggahan pendapat serta pelaksanaan antara ahli parti.

Beliau berkata, kenyataannya itu merujuk kenyataan dibuat Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua bahawa DAP berhasrat mengurangkan kakitangan awam sekiranya memerintah negara ini.

“DAP sendiri tidak sehaluan apabila Tony Phua mengeluarkan kenyataan sebegitu namun apa yang berlaku di negeri ini adalah sebaliknya.

Ini boleh dilihat daripada jawapan bertulis Ketua Menteri, Lim Guan Eng kepada saya pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dun ke-12 baru-baru ini iaitu jumlah kakitangan pejabat Ketua Menteri sahaja mencapai 28 orang.

“Jika kita banding ketika Barisan Nasional memerintah dulu, jumlah kakitangan pejabat Ketua Menteri hanya 13 orang.

“Persoalannya, mengapa menggunakan khidmat kakitangan yang diambil berasingan dan begitu ramai? Mengapa tidak menggunakan penjawat awam dari jabatan sedia ada seperti Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan pejabat Unit Perancang Ekonomi Negeri (Upen)?” katanya kepada media, semalam.

Menurutnya, apakah keperluan Guan Eng mempunyai setiausaha akhbar begitu ramai. Adakah ia tindakan beretika bagi melakukan promosi politik.
“Jika benar untuk melancarkan agenda politik, gunalah ‘premis’ sendiri dan bukannya mengambil kakitangan yang ramai untuk kepentingan itu.
“Dengan mengambil kakitangan yang ramai, ia juga menuntut gaji yang lebih tinggi untuk dibayar,” katanya.

Muhamad Farid berkata, jika dibandingkan pelaksanaan yang dilakukan Guan Eng di negeri ini dengan kenyataan Tony Pua itu, jelas menunjukkan bahawa bukan sahaja ahli parti itu tidak sepakat malah barisan pemimpinnya juga bercanggah pendapat.

“Tony Pua menyatakan hasrat untuk mengurangkan penjawat awam namun Guan Eng dari awal iaitu sejak 2008 sudah mengambil kakitangan untuk pejabatnya dengan begitu ramai. Ia jelas menunjukkan mereka tidak sependapat.

"Apa pun, biar kita serahkan isu ini kepada rakyat untuk menilai.

“Hasrat DAP itu (mengurangkan kakitangan awam) membuatkan ramai kakitangan awam kecewa dan sedih kerana berasakan khidmat mereka selama ini tidak dihargai.

“Jumlah mereka sepatutnya ditambah seiring dengan perkembangan semasa dan bukannya dikurangkan.

"Isu ini mendapat banyak tentangan daripada beberapa pihak berikutan hasrat parti itu tidak sepatutnya dilaksanakan,” katanya.

Terdahulu, banyak pihak , terutama penjawat awam tidak berpuas hati dengan kenyataan yang dikeluarkan Tony Pua bahawa DAP berhasrat mengurangkan kakitangan awam sekiranya parti itu memerintah negara ini.