GEORGETOWN - Kerajaan persekutuan tidak akan membelanjakan walau satu sen kos siaran langsung semua aksi piala dunia yang akan disiarkan di Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, ia kerana terdapat syarikat-syarikat swasta yang sedia menaja siaran langsung tersebut.

"Kita ada terima kritikan mengapa gunakan wang (kerajaan) untuk siaran ini dan pada masa sama kita pula adakan Tabung Harapan Malaysia.

"Ini mungkin tak dijelaskan dengan betul bahawa sungguhpun kita keluarkan RM30 juta, tapi kita akan dapat balik wang RM30 juta itu daripada iklan-iklan dan syarikat swasta.

"Kita telah peroleh tajaan syarikat-syarikat swasta sebanyak RM30 juta dan mereka akan dapat pulangan masing-masing," katanya kepada media, hari ini.

Menurutnya, setiap iklan syarikat terbabit akan disiarkan semasa siaran langsung diadakan.

"Ini bermakna pihak kerajaan persekutuan tak akan belanja satu sen pun untuk siaran langsung piala dunia," katanya.

Guan Eng berkata, pendekatan tersebut secara tidak langsung akan memberi penjimatan kepada penonton sekurangnya RM100.

"Kalau orang ramai nak tonton permainan itu, mereka mungkin kena bayar lebih RM100.

"Tapi dengan usaha sedemikian mereka boleh jimat apabila ia disiarkan secara percuma (di RTM)," katanya.

Sebelum ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, RTM akan menyiarkan 41 perlawanan piala dunia yang menelan belanja RM30 juta dengan 27 daripadanya disiarkan secara langsung.