SUNGAI PETANI - Bayi berusia empat bulan menderita penyakit jantung berlubang memerlukan bantuan orang ramai membiayai kos rawatan di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.

Muhammad Iman Asyraaf Mohd Kamizi dari Taman Seri Aman, Bedong, di sini, yang dikesan menghidap penyakit itu beberapa hari selepas dilahirkan turut menghidap penyakit angin pasang dan pneumonia (jangkitan kuman pada paru-paru).

Ibunya, Noor Faizah Muhd Shabri, 27, berkata, Muhammad Iman Asyraaf dilahirkan bersama kembar-nya, Noor Iman Amani Mohd Kamizi secara pramatang pada April tahun ini.

Bagaimanapun katanya, kakak kembarnya itu dilahirkan sihat dan bebas daripada sebarang penyakit.

"Setakat ini doktor kesan ada tiga lubang pada jantung anak. Anak saya ini terpaksa bergantung kepada mesin oksigen bagi memastikan pernafasan lancar," katanya.

Menurutnya, bagi penyakit jantung berlubang, terdapat dua pembedahan perlu dibuat dalam masa terdekat.

"Tapi disebabkan berat badannya tak cukup, kami perlu tunggu berat badan mencapai sekurang-kurangnya lima kilogram, kalau jalankan juga pembedahan risikonya tinggi,” katanya ketika menemani anaknya di Wad Kanak-Kanak, di Hospital Sultan Abdul Halim, semalam.

Pasangan suami isteri ini bersama dua anak kembar mereka.

Noor Faizah berkata, pembedahan pertama dijangka dijalankan di Hospital Pulau Pinang, November ini.

“Pembedahan pada dua lagi lubang jantung akan dijalankan di IJN selepas itu dan separuh daripada kos pembedahan perlu dibayar oleh kami.

“Selepas itu, ada juga pembedahan lain akan dijalankan untuk penyakit angin pasang, tetapi ia melihat kepada keadaan anak saya,” katanya.

Katanya, dia tidak bekerja dan bergantung kepada pendapatan suaminya yang juga tentera berpangkat Lans Koperal sebanyak RM2,000 sebulan.

Orang ramai yang ingin bantu boleh hulurkan sumbangan melalui akaun Maybank (102055436518) atau hubungi 012-4217290