ALOR SETAR - Seorang ibu tunggal dari Kampung Padang di Mukim Hutan Kampung hanya mampu melihat beberapa atap zink rumahnya diterbangkan ribut yang berlaku Jumaat lalu.

Norhayati Teh Deris, 59, berkata, semasa kejadian dia bersama anaknya, Mohd Najib Abd Ghani, 39, berada di dalam bilik kerana takut dengan ribut dan kilat yang kuat.

"Masa tu kami memang takut sebab angin sangat kuat sampai menggoncang rumah, tapi tak lama kemudian dengar bunyi bising dan dentuman kuat.

"Bila keluar dari bilik, saya nampak kayu dan zink di ruang tengah rumah diterbangkan angin menyebabkan ruang tamu dipenuhi air hujan. Saya hanya mampu beristighfar sebab sangat takut,” katanya.

Menurutnya, dia yang bimbang dihempap kayu kemudian berlari semula ke dalam bilik.

Bagaimanapun katanya, keadaan bertambah kecoh apabila beberapa pokok di luar rumah turut tumbang dan hampir menimpa  rumahnya.

“Masa itu saya hanya mampu berdoa pada ALLAH. Awalnya saya cuba juga berlari keluar untuk minta tolong anak yang tinggal berdekatan, tapi takut sebab kilat yang kuat.

"Selepas hujan reda, barulah saya dan anak yang kurang sihat keluar dari bilik serta mengemas rumah dipenuhi air hujan. Paling mengejutkan bila atap zink diterbangkan 150 meter, nasib baiklah tidak mencederakan sesiapa," katanya.

Norhayati berkata, sepanjang 30 tahun tinggal di rumah berkenaan, ini kejadian paling teruk pernah berlaku kerana sebelum ini hanya beberapa atap zink diterbangkan angin.

Sementara itu, Pengerusi JKKK Hutan Kampung, Ramli Mei berkata, kejadian ribut itu menyebabkan sebanyak tujuh rumah mengalami kerosakan.

Bencana itu mendapat perhatian Umno Bahagian Pokok Sena yang turun padang hulurkan sumbangan makanan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat yang datang untuk menilai kerosakan rumah mangsa.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • IPOH - Penduduk sekitar Kampung Temiang gempar apabila kampung berkenaan dilanda ribut petang kelmarin hingga menyebabkan beberapa rumah penduduk mengalami kerosakan.
  • TELOK AIR TAWAR - "Ya ALLAH, bumbung rumah aku," itu reaksi seorang lelaki apabila bumbung rumahnya diterbangkan angin dalam kejadian ribut kuat di Jalan Tunku Syed Putra disini petang tadi.
  • LABUAN - Angin kencang yang membadai Labuan dari malam Ahad hingga awal pagi ini menyaksikan bumbung rumah diterbangkan ribut yang turut merosakkan rumah dan menumbangkan pokok.
  • ALOR PONGSU - Seorang pesara Tentera Laut Diraja Malaysia(TLDM) terdengar dentuman kuat sebelum melihat bumbung tambahan rumahnya menghempap keretanya dalam kejadian ribut di Taman Serai Jati, di sini semalam.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.