SEJAK Kedah dilanda pergolakan politik 20 Januari lalu, pelbagai perspektif dan kata-kata nakal singgah di telinga kita mengenai Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah iaitu insan yang diberi kepercayaan untuk mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah Ke-12 pada pada 4 Februari lalu.

Ingin meneroka kehidupan anak kedua kepada pasangan Md Hanipah Sheikh Alauddin dan Che Liah Hassan ini, wartawan Sinar Harian mendekati penduduk Kampung Kubur Panjang, Pendang, iaitu tempatnya dibesarkan bersama adik beradiknya yang lain.

Beliau dilahirkan di Langgar dan kemudian berpindah ke Kampung Kubur Panjang dan memulakan pendidikan awalnya di Sekolah Kebangsaan Kubur Panjang.

Kemudian menyambung pendidikan di Sekolah Menengah Kebangsaan St Micheal Alor Setar.

Ayahnya, Md Hanipah, pernah menjadi senator manakala ibunya, Che Liah atau mesra dengan panggilan mami oleh masyarakat setempat seorang suri rumah.

Menyingkap latar belakang keluarga sejak dari ayahnya, menunjukkan Ahamd Bashah datang dari keluarga berpendidikan tinggi dan menjadikan bidang keusahawanan sebagai salah satu punca rezeki mereka.

Datuknya, Sheikh Alauddin, lelaki berketurunan mamak mempunyai kedai getah di pekan Kubur Panjang yang musnah dalam satu kebakaran beberapa tahun lalu.

Memahami kesusahan penduduk ketika itu, datuknya kerap memberi bantuan kepada orang kampung dalam apa jua bentuk.

Menurut penduduk kampung, ayahnya, iaitu Md Hanipah merupakan pengasas Masjid Kubur Panjang lebih 50 tahun lalu.

Ayah beliau bersama penduduk kampung mengangkat Masjid Kapitan Keling yang berada di Alor Setar (diperbuat daripada kayu) dan membawanya untuk dijadikan Masjid Kubur Panjang.

Md Hanipah adalah orang berpengaruh di kampung itu dan kerap memberi bantuan kepada penduduk.

Begitu pun, ayahnya meninggal dunia dalam usia muda iaitu ketika menghadiri urusan rasmi dan mesyuarat di Kuala Lumpur.

Jenazahnya disemadikan di Tanah Perkuburan Kampung Perupuk iaitu kariah paling tua di sini.

Ibunya kemudian tinggal bersama ibu saudaranya iaitu Zainab Sheikh Alauddin sebelum berpindah ke kampung keluarganya di Batu 8, Simpang Empat setelah Ahmad Bashah dan adik beradik lain bersekolah di Alor Setar.

Ahmad Bashah pelajar rajin, berdisiplin

Selepas berpindah ke Kubur Panjang dari Langgar, Ahmad Bashah memulakan persekolahan dalam darjah satu di Sekolah Kebangsaan Kubur Panjang pada tahun 1957.

Sahabat baiknya, Ismail Salleh, 66, berkata, pemimpin itu adalah seorang budak yang baik dan jarang sekali bermain bersamanya atau adik-adiknya sendiri yang lain selepas waktu sekolah.

“Bashah pelajar yang pandai dan tidak nakal, jika berada di sekolah dia akan belajar, jika tiba masa untuk bermain dia akan bermain.

“Dia dan adik-beradik yang lain diajar oleh mami (ibunya) menjalani kehidupan yang sederhana dan tertib sejak kecil,” katanya.

Beliau berkata, baju sekolahnya dan adik-beradik sentiasa putih dan kemas, tidak pernah kelihatan selekeh.

“Saya tak sangka, Ahmad Bashah mengikut jejak langkah ayahnya menceburi politik. Kini sahabat baik saya itu menjadi Menteri Besar Kedah yang baru,” katanya .

Keluarga disenangi penduduk

Sejak dari Sheikh Alauddin, keluarganya amat dihormati oleh penduduk sekitar kerana kekayaan dan pengaruh mereka.

Seorang penduduk kampung itu, Ismail Hussain, 77, keturunan Ahmad Bashah adalah dari keluarga kaya namun tetap merendah diri.

“Ahmad Bashah sendiri mewarisi sifat itu,” katanya.

Rajemah Abd Rahman, 63, yang berkawan baik dengan adiknya iaitu Bashariah sering bermalam di rumah keluarga Ahmad Bashah untuk mengulang kaji pelajaran.

“Mami menganggap kawan anaknya seperti anak sendiri.

“Mami selalu masak makanan banyak-banyak dan beri kepada orang susah,” katanya.

Warisi sikap pemurah datuk

Menjadi penghuni tunggal keturunan Sheikh Alauddin di Kubur Panjang, Fatimah Zahara Mohd Hussain, 69, seorang bekas guru Tadika Kemas menyifatkan sepupunya itu seorang yang mewarisi personaliti bapa saudara dan datuk mereka.

Mesra dengan panggilan Kak Long, Zahara berkata, Ahmad Bashah gemar memberi sedekah dan sifat itu memang dipupuk oleh datuk mereka ketika mengusahakan kedai getah di pekan Kubur Panjang.

Sikap bersedekah itu diwarisi turun temurun sehingga kepada Ahmad Bashah.

“Walaupun kehidupannya tidaklah begitu mewah, dia akan bersedekah sekadar yang ada.

“Dia tidak sombong dan selalu berlaku adil,” katanya.

Menurutnya, setiap kali tibanya hari raya, Ahmad Bashah akan balik ke Kubur Panjang untuk menziarahi pusara bapanya dan juga menziarahi kubur panjang yang menjadi simbolik kepada nama kampung ini.

“Semua saudara akan balik berkumpul di rumah ini,” katanya merujuk kepada rumah yang ditinggalkan oleh ibu saudaranya, Zainab iaitu anak bongsu Sheikh Alauddin.