ALOR SETAR - Jabatan Kesihatan Kedah mengeluarkan 15 notis kompaun terhadap peniaga makanan atas pelbagai kesalahan dalam Operasi  Ramadan 2018 di bazar Ramadan di negeri ini.

Pengarah Kesihatan Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail berkata, kesemua notis kompaun dikeluarkan dalam pemeriksaan di 886 gerai melibatkan 18 bazar Ramadan bermula 20 Mei lepas.

Norhizan berkata, pihaknya telah menjalankan pemeriksaan keselamatan makanan di 18 tapak dari keseluruhan 96 bazar Ramadan di Kedah bermula Ahad lalu sehingga hari ini.

"Daripada 18 tapak bazar, sejumlah 886 gerai makanan telah diperiksa. Daripada jumlah itu, kita mengeluarkan 15 notis kompaun atas pelbagai kesalahan kepada peniaga.

"Berdasarkan maklumat, 15 notis kompaun berkenaan melibatkan enam dari daerah Kubang Pasu, diikuti Padang Terap (5), Kulim (3) dan Yan (1),"katanya dalam pemeriksaan keselamatan makanan di Bazar Ramadan Taman Nuri, di sini, tadi.

Katanya, kesalahan paling banyak dikesan, ialah kebanyakan peniaga makanan didapati melakukan kesalahan tidak mendapatkan suntikan vaksin typhoid, meskipun ia wajib.

Menurutnya, pihaknya menekankan aspek pendidikan kesihatan, selain melakukan aktiviti pemeriksaan kebersihan premis dan pensampelan makananan diperolehi dari bazar.

Operasi Ramadan 2018 disertai 65 anggota termasuklah 13 kakitangan Jabatan Kesihatan Kedah, 45 kakitangan Pejabat Kesihatan daerah Kota Setar dan selebihnya dari Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS).