KUALA NERUS - Kerajaan negeri memandang serius kegiatan doktor gigi palsu di negeri ini meskipun kes yang direkodkan masih terkawal.

Exco Kerajaan Negeri, Roslee Daud berkata, setakat ini sebanyak lima kes telah direkodkan dari tahun 2015 hingga 2018.

Menurutnya, semua kesalahan itu melibatkan pemasangan pendakap gigi palsu dan kesemua yang ditangkap itu merupakan wanita.

“Jadi kita harap rakyat sentiasa peka dengan masalah serta isu yang berlaku ini. Jangan cepat percaya (tawaran doktor palsu) dan berurusan (dapat rawatan) di tempat yang betul.

“Kalau di peringkat kampung kita berurusan di klinik-klinik desa yang disediakan kerajaan serta hospital-hospital yang sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir menyempurnakan perasmian Program Kesihatan Pergigian Warga Emas Peringkat Negeri Terengganu 2018 di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri, di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Pengarah (Kesihatan Awam) Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Mohammad Jusoh.

Menurut Roslee lagi, orang ramai masih kurang sedar bahawa mereka yang menawarkan perkhidmatan pendakap gigi palsu adalah orang tidak bertauliah.

“Justeru, kita menyeru kepada masyarakat agar dapatkan sebarang rawatan pergigian di klinik pergigian kerajaan ataupun swasta yang berdaftar serta dilakukan oleh pengamal pergigian yang bertauliah,” katanya.