KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki warga Bangladesh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, di sini, semalam, kerana dituduh merogol dalam satu kejadian di Kampung Padang Air, di sini, Mac tahun lalu.

Bagaimanapun, tertuduh Nur Husain Nur Ahmad, membuat pengakuan tidak bersalah di hadapan Hakim Murtazadi Amran, sebaik pertuduhan merogol mangsa itu selesai dibacakan jurubahasa mahkamah terhadapnya.

Tertuduh mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas pertuduhan merogol mangsa yang juga berstatus pelarian di sebuah rumah di Kampung Padang Air, di sini, lebih kurang jam 4 petang, pada 21 Mac 2014.

Dengan itu, dia didakwa melakukan satu kesalahan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh boleh sampai 20 tahun dan boleh dikenakan sebat, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zarina Awang @ Mamat.

Sebaik sahaja pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, Hakim Murtazadi menetapkan 12 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula untuk lantikan peguam, namun sebarang jaminan tidak ditawarkan.