KUALA TERENGGANU – Kesucian Ramadan dicemari dengan perbuatan tidak bertanggungjawab seorang lelaki yang dikesan mencuri wang hasil derma milik tabung Masjid Jamek, Kampung Paloh.

Bilal masjid, Mohd Johari Yahya berkata, kejadian disedari selepas solat Jumaat apabila tabung derma sempena Ramadan didapati diumpil dan sebahagian wang kutipan didapati hilang.

“Pihak pengurusan masjid kemudiannya memeriksa kamera litar tertutup (CCTV) dan mendapati seorang remaja telah memasuki masjid awal pagi hari kejadian (Jumaat) iaitu kira-kira jam 3.30 pagi.

“Berdasarkan rakaman, suspek mengambil masa kira-kira setengah jam untuk mencuri wang dari dua buah tabung yang diletakkan di masjid ini,” katanya.

Mohd Johari berkata, pemasangan CCTV di masjid itu dilakukan ekoran kes kecurian yang kerap berlaku, bagaimanapun, ia dilihat masih gagal menghalang kegiatan itu.

“Ini merupakan kejadian kedua selepas yang berlaku bulan lalu (Mei). Sebelum ini perakam CCTV hilang dan kita dapati ia telah dicuri termasuk monitor.

“Jadi, untuk kali ini kita dapat kesan suspek menerusi rakaman CCTV dan kita harap kali ini kesemua suspek terlibat tidak akan terlepas,” katanya.

Mohd Johari berkata, laporan polis bagi kes itu telah dibuat di Balai Polis Chabang Tiga, di sini, jam 5 petang tadi.

Sementara itu, Ketua Polis Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd Rafar mengesahkan menerima laporan berkenaan.

Orang ramai yang mengenali suspek diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.