KUALA TERENGGANU – Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) akan tersenarai sebagai universiti Islam ketiga di negara ini, selain Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (Usim).

Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Jailani Ngah berkata, pengiktirafan kepada Unisza sebagai universiti Islam berdasarkan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mahukan universiti berkenaan sebagai universiti Islam.

“Perdana Menteri atau pihak universiti sendiri akan umumkan perkara ini. Memandangkan sebelum ini, universiti yang bermula dengan nama Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (Kusza) cukup hebat dan terkenal sebagai kolej agama bagi penduduk Pantai Timur, jadi amat bersesuaian sekiranya ia diiktiraf sebagai universiti Islam.

“Tambahan pula, di Pantai Timur khususnya di Terengganu belum mempunyai sebuah universiti Islam, jadi, pengiktirafan ini adalah permulaan terbaik untuk memartabatkan universiti Islam di negara ini,” katanya pada sesi lawatan kerja ke Unisza, semalam.

Unisza yang kini mempunyai tiga cawangan iaitu di Kampus Gong Badak, Kampus Kota dan Kampus Besut telah berusia enam tahun. Ia dikenali sebagai Universiti Darul Iman sebelum ditukar secara rasmi kepada Unisza pada 2010.

Sementara itu, Naib Canselor Unisza, Prof. Dr Yahya Ibrahim berkata, sebuah bangunan canselori bernilai RM20 juta dan bangunan asrama baru bagi menempatkan 3,000 pelajar bernilai RM150 juta akan dibangunkan.

Menurutnya, pihaknya telah menghantar permohonan kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan ia telah mendapat maklum balas positif dalam tempoh terdekat.

“Kita baru mohon dengan KPT untuk bangunkan bangunan canselori kerana kita berhasrat hendak menjadikan kampus Gong Badak ini sebagai kampus induk. Selepas ini, infrastruktur lain akan menyusul termasuk pembinaan kompleks sukan.

“Kita juga akan wujudkan Sekolah Imtiaz Unisza supaya pelajar-pelajar terbaik yang dihasilkan dari sekolah berkenaan dapat menyambung terus pengajian di Unisza dan memilih universiti ini sebagai pilihan utama,” katanya.

Beliau berkata, pembinaannya masih di peringkat perancangan dan kertas kerja mengenainya belum dibawa ke peringkat tertinggi.

“Kita cuma rancang membinanya berdekatan dengan kampus atau di kawasan-kawasan sesuai di mana ia akan ditentukan oleh Unisza Holding.

“Kita juga merancang memperluaskan Unisza di peringkat nasional dan antarabangsa dengan membina kampus di Kuala Lumpur serta menawarkan pelbagai program yang dijangka akan mendapat sambutan,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri telah meluluskan permohonan Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) untuk menggunakan dua blok bangunan asrama di Taman Ilmu dekat Tembila di Besut bermula 5 September depan.
  • KUALA NERUS - Pembinaan Hospital Pengajar Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) akan dimulakan selewatnya Jun ini dan dijangka siap penghujung 2018 akan datang.
  • KUALA TERENGGANU - Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) telah berjaya mempatenkan satu daripada produk penyelidikannya, yang dikenali sebagai ‘portable wheelchair’ atau kerusi roda mudah alih.
  • KUALA NERUS - Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) berjaya mencipta rekod dalam Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi Projek Tulisan Sejuta Kalimah ALLAH yang menggunakan lukisan cat air terpanjang pernah dilakukan di negara ini.
  • KUALA NERUS - Lebih 30,000 pengunjung dijangka membanjiri pesta buku terbesar di Terengganu anjuran Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) dengan kerjasama Big Bad Wolf Books Sdn Bhd selama enam hari bermula Rabu ini.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.