KAMPUNG Tok Jembal yang terletak di kawasan Dun Seberang Takir sememangnya cukup terkenal sebagai sebuah perkampungan nelayan tradisional yang memiliki pantai yang indah.

Bagaimanapun, kebanyakan generasi muda hari ini mungkin kurang mengetahui mengenai sejarah asal kampung berkenaan yang terletak berdekatan dengan Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Meskipun tiada sejarah secara bertulis, namun berdasarkan cerita orang lama, nama Tok Jembal dipercayai diambil sempena nama pedagang asing dari Thailand berketurunan ‘Raja Jembal’ yang dipercayai dibunuh lanun dan disemadikan di kampung berkenaan.

Kuburnya dipercayai mempunyai keramat dan sering dikunjungi sesetengah pihak yang mengamalkan ajaran songsang suatu ketika dahulu.

Separuh tanah perkuburan lenyap dihanyut ombak

Bagaimanapun, kubur itu kini hanya tinggal sejarah setelah dihanyutkan ombak berikutan hakisan teruk yang melanda kampung berkenaan, yang turut menyaksikan hampir separuh daripada kawasan tanah perkuburan lenyap.

Pengerusi JKKK Tok Jembal, Mat Azam Abd Wahab berkata, suatu ketika dahulu, kampung berkenaan merupakan laluan utama pedagang asing untuk ke Kuala Terengganu dan sering menjadi tempat persinggahan kebanyakan kapal dagang dari luar.

“Sejarah penubuhan kampung ini sukar untuk kita buktikan secara sahih. Bagaimanapun, begitulah cerita orang lama-lama yang disampaikan dari mulut ke mulut. Ketika itulah kampung ini mula diterokai dan dibuka.

“Sekarang orang paling lama tinggal di sini merupakan generasi keenam. Sejak penduduk asal membuka kampung ini sehinggalah sekarang, kemajuan demi kemajuan yang kita kecapi,” katanya.

Jadi tumpuan penduduk dapat ikan segar

Menurut Mat Azam lagi, meskipun pelbagai pembangunan dikecap penduduk, namun amalan hidup masyarakat setempat tetap tidak berubah terlalu ketara kerana kebanyakan mereka masih tertumpu pada aktiviti nelayan dan laut.

“Sebahagian besar penduduk di kampung ini masih turun ke laut untuk menyara diri dan juga keluarga, malahan kawasan Tok Jembal sering menjadi tumpuan penduduk sekitar untuk mendapatkan bekalan ikan segar.

“Selain itu, kawasan pantai yang indah turut menjadikan Tok Jembal sering menjadi tumpuan pengunjung terutama pada hujung minggu dan cuti umum untuk bersantai bersama keluarga masing-masing.

"Jadi, tidak hairanlah sekiranya pantai Tok Jembal cukup dikenali orang luar,” katanya.

Sementara itu, Mat Azam berkata, Kampung Tok Jembal kini mempunyai bilangan penduduk lebih kurang 3,500 orang.

Katanya, ssegala kemudahan yang ada termasuk masjid, sekolah, tadika, balai raya dan sebagainya turut membuatkan kampung berkenaan membangun seperti mana kampung lain di Kuala Nerus.
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.