KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, di sini, semalam, kerana menipu dua lelaki melibatkan urusan sewa beli rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Padang Hiliran, di sini.

Keputusan dibuat terhadap tertuduh, Wong Chin Chok, 42, selepas mengaku salah atas empat pertuduhan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dengan memperdaya kedua-dua mangsa menyerahkan wang berjumlah keseluruhan RM19,946.

Tertuduh mengaku salah menipu Wee Siew Kiok, 46, dengan memperdaya mangsa untuk mempercayai dirinya akan menolong untuk mendapatkan rumah Flat PPR Padang

Hiliran, di sini, sehingga mangsa menyerahkan RM3,982 sebanyak tiga kali. Dia mengaku menipu mangsa yang sememangnya tidak akan menyerahkan wang sejumlah RM11,946 itu sekiranya tidak diperdayakan di sebuah rumah di Bukit Kecil, di sini, pada 2 September, 2 dan 25 Disember 2015.

Selain itu, tertuduh juga mengaku salah menipu Wong Chun Boon, 51, sehingga mangsa yang percaya dengan janji itu menyerahkan RM8,000 di sebuah pejabat di Jalan Balik Bukit, di sini, pada 17 Januari 2016.

Dengan itu, dia mengaku salah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dan dengan sebatan, dan boleh juga dikenakan denda, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Miky Dunstan Muda di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.

Berdasarkan fakta kes, kedua-dua mangsa menyerahkan wang kepada tertuduh atas sebab percaya dengan tawaran mendapatkan rumah PPR Padang Hiliran yang dijanjikan oleh tertuduh.

Tertuduh meyakinkan mangsa dan memberi jaminan bahawa dia boleh mendapatkan rumah tersebut kerana dia ada mengenali orang dalam PMINT.

Selain itu, tertuduh telah membawa mangsa bersama saksi kes bagi melihat rumah di PPR Padang Hiliran bagi tujuan meyakinkan mangsa.

Namun begitu, kedua-dua mangsa yang sudah membuat pembayaran masih tidak menerima rumah dijanjikan setelah menunggu dalam tempoh agak lama, sebelum membuat laporan polis untuk tindakan susulan.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • TELUK INTAN - Tindakan licik seorang wanita dan lelaki menggunakan aplikasi sosial WeChat sebagai medium pengiklanan sehingga berjaya menipu 51 mangsa sebanyak RM325,000.
  • KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki dijatuhkan hukuman penjara sembilan bulan oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu di sini, semalam, kerana menyimpan motosikal curi yang juga milik jirannya.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.