MARANG - Nelayan di Merchang dan sekitarnya diminta bersabar manakala pihak yang berkepentingan tidak mempolitikkan isu muara Sungai Mechang kerana kerajaan negeri sedang dalam proses menyelesaikan masalah berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Alam Sekitar negeri, A Latiff Awang berkata,  isu muara Sungai Merchang tidak perlu dipolitikkan kerana perkara itu tidak mudah untuk diselesaikan dalam masa yang singkat.

Ini kerana katanya, proses perlaksanaan untuk membina banteng pemecah ombak memerlukan tempoh tertentu yang melibatkan perkara teknikal, kajian dan sebagainya.

Sebelum ini, katanya, Kerajaan Pusat telah meluluskan peruntukan sebanyak RM43 juta untuk membina benteng pemecah ombak di muara Sungai Merchang bagi kemudahan laluan bot nelayan untuk keluar masuk ke muara berkenaan.

Menurutnya, projek di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar itu juga telah tersenarai dalam Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) dan dijadualkan akan dilaksanakan pada Mac 2018 selepas perkara teknikal dan kajian selesai.

“Muara Sungai Merchang yang cetek bakal diperdalamkan di mana kerajaan negeri dengan sokongan pihak Kementerian telah berjaya menyenaraikan muara ini (Sungai Merchang) sebagai  satu muara akan dibuat pemuliharaan melalui RMK-11.

“Perkara ini telah menampakkan kemajuan di mana pada awal tahun ini, kerja-kerja awalan seperti pemetaan serta kajian telah dibuat oleh Jabatan Pengairan dan Saliran,” katanya pada Majlis Pelancaran Sukarelawan Perikanan (Super) dan Melabuhkan Unjam di Pangkalan Merchang, di sini.

A Latiff yang juga Adun Pengkalan Berangan berkata, kerajaan negeri juga telah memperuntukkan lebih RM20,000 pada setiap tahun bagi kerja-kerja mendalamkan muara sungai berkenaan sebagai satu penyelesaian jangka pendek.

“Ianya sebagai langkah penyelesaian sementara di mana kerja-kerja rutin iaitu menggali dan mendalamkan laluan-laluan untuk ke laut ini sentiasa dibuat dari semasa ke semasa,” katanya yang akan terus memperjuangkan isu berkenaan sehingga selesai.

Sementara itu, beliau bersama nelayan setempat termasuk dari kalangan ahli Super Merchang turut keluar ke laut untuk melabuhkan 20 unit unjam sejauh kira-kira tiga batu nautika dari jeti pengkalan itu sempena merasmikan program.

Beliau berkata, melalui peruntukan yang disalurkan pihaknya sebanyak 100 unit unjam berjaya dibina melalui kerjasama nelayan setempat di mana sebanyak 80 unit unjam telah dilabuhkan pada 24 Mac lalu dan bakinya pada majlis itu.

“Tujuan diletakkan unjam ini adalah untuk menggalakkan pembiakan ikan kerana unjam berfungsi sebagai pusat ikan berkumpul yang mana di kawasan ini lokasi pilihan nelayan menjalankan aktiviti menangkap ikan.

“Ini merupakan usaha para nelayan (Pangkalan Merchang) untuk menambah pendapatan,” katanya yang juga merupakan Ketua Umno Bahagian Marang.

Dalam pada itu, A Latiff turut meluluskan peruntukan sebanyak RM50,000 untuk Persatuan Nelayan Zon Pantai di kawasan itu bagi mendapatkan peralatan menangkap ikan sekaligus diharapkan dapat menambah pendapatan mereka di masa depan.

“Ianya bagi membiayai pembelian pukat dan sebagainya yang diperlukan oleh para nelayan di kawasan Pengkalan Merchang, Pengkalan Nelayan Jambu Bongkok, Pengkalan Nelayan Pasir Puteh dan juga Pengkalan Nelayan Gong Balai,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • BUTTERWORTH - Beberapa nelayan di sekitar Seberang Perai Utara menagkui hasil tangkapan semakin kurang sejak kebelakangan ini yang mengakibatkan harga ikan terutama ikan kembung melambung tinggi.
  • PORT DICKSON - Seorang nelayan yang juga orang kurang upaya (OKU) menganggap dirinya sangat bertuah apabila seekor ikan pari harimau seberat 120 kilogram (kg) tersangkut pada jaringnya di perairan Chuah berhampiran Pengkalan Nelayan Kuala Lukut sekitar jam 11.30 pagi tadi.
  • PULAU CAREY - Sesuai dengan nama, itulah yang boleh digambarkan kepada seorang nelayan Kampung Orang Asli Sungai Judah, Pulau Carey , Selamat anak Ikin,42, ketika ditemui di rumahnya hari ini.
  • YAN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia meminta agar jangan ditular berita palsu kononnya kesemua nelayan yang hilang di Pulau Bunting di sini Ahad lalu telah ditemukan.
  • KEMAMAN - Kerakusan nelayan Vietnam menangkap gamat secara haram terus dipatahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Wilayah Timur apabila dua lagi bot dari negara itu ditangkap bersama 11 nelayan semalam.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.