KUALA BERANG - Pokok kurma berbuah lebat bukanlah sesuatu yang tidak pernah berlaku di Terengganu, namun dek kerana pertama kalinya dapat dilihat di daerah ini, ia mengundang keterujaan dalam kalangan komuniti.

Difahamkan, pokok kurma berkenaan ditanam Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di sekitar Bandar Kuala Berang lebih lima tahun lalu dan kini ada di antara pokok-pokok tersebut telahpun mengeluarkan buah.

Paling mendapat perhatian kerana berbuah lebat ialah sebatang pokok kurma terletak di hadapan Pasar Besar Kuala Berang sehinggakan ada yang memuatnaik gambar buah kurma tersebut dalam laman sosial Facebook.

Tinjauan Sinar Harian mendapati tahap pengeluaran buah berbeza lebatnya dan ada di antara pokok-pokok menghiasi lanskap Bandar Kuala Berang itu tidak mengeluarkan buah selain ada yang tumbesarannya tidak begitu menjadi.

Pegawai Penerangan Daerah Hulu Terengganu, Abidin A Ghani turut tidak ketinggalan memuatnaik gambar buah kurma di akaun facebook dengan keterangan rezeki buah kurma di Dataran Majlis Daerah Hulu Terengganu.

Beliau ketika dihubungi Sinar Harian turut menyatakan rasa syukur, keterujaan  serta menyifatkan sesuatu yang mengagumkan apabila bumi Kuala Berang juga terdapat pokok kurma dan dapat berbuah.

"Pokok yang berbuah lebat ini terletak tidak berapa juah daripada pejabat dan saya ambil keputusan muatnaik dalam fb sebagai satu perkongsian. Walaupun bukanlah sesuatu yang pelik lagi tapi bagi ia buatkan saya kagum.

"Melihat kepada buahnya yang lebat, saya rasa kurma ini akan dapat dinikmati sedikit masa lagi dan tentunya kalau ada peluang, tidak mahu ketinggalan nikmatinya.

"Namun segalanya terpulang ke PBT mekanisme macam mana bakal digunakan nanti. Saya percaya komuniti setempat juga teruja melihat pokok-pokok kurma ini berbuah," katanya.