KOTA BHARU - Akhlak al-Quran perlu dijadikan asas dalam pembentukan kanak-kanak di awal usia bagi menjadikan mereka insan yang cemerlang dunia dan akhirat.

Timbalan Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah berkata, sejarah membuktikan ilmuan Islam dilahirkan daripada mereka menjadi al-Quran sebagai asas pendidikan.

“Tokoh-tokoh Islam sama ada dalam bidang ugama  mahupun dalam bidang Sains bermula dengan al-Quran, mereka hafal dan menghayati dan menjadikan al-Quran sebagai rujukan,

“Oleh itu saya sarankan guru-guru dan ibu bapa terapkan al-Quran dari awal usia bagi membentuk insan cemerlang,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menghadiri majlis Solat Hajat dan Pelancaran Motivasi Berkala Sekolah Kebangsaan Melor di sini kelmarin.

Hadir sama, Guru Besar, Mohd Asri Omar dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Melor, Mohd Khairul Azmaiha Md Nor.

Dalam majlis itu, Muhammad Nasir turut menyampaikan sumbangan al-Quran terbitan Karangkraf kepada sekolah terbabit.

Muhammad Nasir berkata, sekiranya pekerja akhlak Islam dilahirkan, semua perkara akan berjalan dengan baik sekali gus membentuk negara yang makmur.

“Kita mahu doktor, jurutera, atau apa jua bidang  dilahirkan daripada asas al-Quran, sekiranya ini berlaku, kita yakin tidak akan ada perkara-perkara negatif kerana mereka telah mendapat didikan al-Quran dari awal usia,” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Nasir, turut menyokong usaha sekolah tersebut yang mengadakan program spiritual kepada pelajar termasuk sesi motivasi berterusan kepada murid.

Dalam pada itu, Mohd Asri memohon agar  ibu bapa memberi kepercayaan kepada guru-guru untuk membentuk anak mereka.

“Solat hajat ini adalah salah satu usaha kita untuk memohon agar usaha kita membentuk pelajar dipermudahkan.

“Kita memohon agar ibu bapa dan pihak yang terbabit bersungguh-sungguh dalam menjayakan misi ini dan ini adalah amanah yang perlu dipikul bersama,” katanya.

Sementara itu,  Khairul Azmaiha memberi penghargaan kepada Karangkraf  yang berterusan menyokong program di sekolah terbabit  sekali gus menunjukkan komitmen terhadap pendidikan anak bangsa.