KUALA TERENGGANU – BN bertekad memastikan Dun Batu Burok menjadi milik parti kerajaan menjelang PRU14 dan sedang mengintai peluang memastikan kerusi tersebut terlepas dari genggaman Pas.

Pengerusi Penyelaras Dun Batu Burok, Zamri Awang Hitam berkata, pihaknya menaruh harapan tinggi memastikan rekod Dun Batu Burok yang dipegang Pas selama enam penggal berturut-turut sejak PRU 1990 hingga PRU13 akan berubah kali ini.

Beliau berkata, pihaknya sedang memperkemas solidariti di peringkat dalaman dan usaha itu berterusan sejak beliau mengambil alih tugas pengerusi penyelaras selepas PRU13 dengan memastikan hubungan kukuh di peringkat Dun serta akar umbi mencapai tahap memberangsangkan bagi memastikan persediaan mendapatkan kerusi berjalan lancar.

“Kalau sebelum ini ada isu tidak sebulu di peringkat Dun tetapi kini kita mencapai satu solidariti yang cukup baik di peringkat penyelaras dengan ketua cawangan dan sayap-sayap Pemuda, Wanita dan Puteri. Kekuatan inilah yang sedang kita bina untuk memastikan kemenangan,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Zamri berkata, pihaknya enggan mengambil pusing terhadap kelemahan pihak lawan dan isu-isu perpecahan dalaman pembangkang.

Bagaimanapun beliau tidak menolak ia turut memberi satu kelebihan dan bonus dalam usaha BN mencapai kemenangan.

Mengulas lanjut, faktor terpenting adalah kekuatan dalaman di peringkat parti sendiri dan perlu dikekalkan bagi menghasilkan satu keputusan positif pada masa depan.

“Kita tidak mengambil manfaat daripada kelemahan pembangkang kerana kekuatan kita sendiri ketika ini cukup kuat di Batu Burok,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai solidariti yang dicapai ketika ini dalam kalangan ahli parti di Dun tersebut, Zamri menjelaskan bahawa beliau tidak pernah menjadikan dirinya sebagai seorang ‘bos’.

Sebaliknya, beliau berperanan sebagai pemudah cara yang menyokong sepenuhnya program-program di peringkat akar umbi untuk memastikan ahli-ahli parti mampu memainkan peranan mereka dengan sebaik mungkin bagi mendapatkan keyakinan rakyat terhadap parti.

“Dalam parti, saya bukannya bertindak sebagai mengarah supaya orang melakukan itu atau ini tetapi meletakkan diri sebagai fasilitator atau pemudah cara supaya semua pihak dapat membuat kerja yang terbaik demi kepentingan parti,” katanya.

Dalam PRU13 lalu, calon BN, Datuk Che Mat Jusoh memperoleh 11,406 undi tewas kepada calon Pas, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi yang mendapat 13,679 dengan majoriti sebanyak 2,273 undi.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • JITRA - Umno Bahagian Kubang Pasu akan memastikan majoriti kemenangan setiap calon yang bertanding akan meningkat pada PRU yang akan datang.
  • BANDAR TUN RAZAK - Pakatan Harapan bersedia membatalkan projek pembangunan di padang bola sepak Jalan Jujur, di sini, jika menang PRU14 nanti.
  • KUANTAN - Polis Kontinjen Pahang bersiap sedia bagi menghadapi PRU14 dengan kekuatan 6,000 anggota.
  • KLANG - Umno Cawangan Taman Raja Uda dan MCA Klang menyerahkan sumbangan alat bantuan berjalan dan juga sebuah kerusi roda kepada seorang warga emas yang terlibat dalam kemalangan.
  • ALOR SETAR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diminta tidak berangan-angan untuk menambahkan kemenangan kerusi Parlimen Umno BN di Kedah jika masih gagal menepati janji PRU13.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.