BESUT -  Tiga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Besut di sini menempa sejarah apabila menewaskan peserta dari Amerika Syarikat, Hungary, Jepun dan Korea dalam pertandingan Program Pembangunan Sumber Manusia Untuk Tenaga Nuklear anjuran Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) yang berlangsung di Gyeongju, Korea Selatan, semalam.

Kejayaan mereka dalam pertandingan peringkat akhir menumpaskan lima negara terbabit sekaligus dinobatkan sebagai juara peringkat dunia yang diumumkan kira-kira jam 4 petang waktu Malaysia, semalam.

Pelajar terbabit Muhammad Syazwan Mat Sidik, 17, Muhammad Anuar Abd Ghani, 17, dan Safiyyah Muhammad Nasir, 16, merupakan pelajar sekolah harian biasa.\

Pengetua SMK Kuala Besut, Che Soh Che Mat berkata, beliau menyaksikan keputusan pertandingan yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook salah seorang guru pengiring, Faizul Abd Rahman dari Korea.

Menurutnya, pengumuman pasukan KuBest Innovation Team itu sebagai juara amat  mengejutkan kerana mereka berdepan lima negara kuasa besar dalam pengeluaran tenaga nuklear.

“Mereka akan pulang  ke tanah air dan  tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur  (KLIA) petang esok sebelum tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Pengkalan Chepa pada jam 9.30 malam.

“Guru dan pelajar sekolah akan menyambut mereka  di lapangan terbang itu dan mereka akan diraikan dalam satu majlis khas pada Isnin depan di Kuala Besut,” katanya.

Che Soh berkata, pasukan ini ditubuhkan pada Disember 2017 dan telah melalui tiga pertandingan peringkat awal mengatasi 188 pasukan dari 30 buah negara anggota IAEA.

Menurutnya, pasukan ini ditubuhkan di bawah Projek Unit Inovasi SMK Kuala Besut diketuai Ketua Bidang Sians Matematik sekolah, Faizul Abd Raman dibantu guru penyelaras projek, Wan Zul Azri Wan Mohd  Shatar  dan seorang lagi guru, Rohaya Husin.

“Pasukan ini mendapat kerjasama sepenuhnya dari Agensi Nuklear Malaysia dan dorongan daripada Yang DIpertua Persatuan Ibu dan Bapa (PIBG) sekolah, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman,” katanya.

Che Soh berkata, walaupun Malaysia bukan negara pengeluar tenaga nuklear tetapi pelajar-pelajarnya membuktikan kemampuan bersaing dengan pasukan negara lain berkat kerja keras dan bersungguh-sungguh guru dan pelajar terbabit.

Menurutnya, sebelum ini mereka telah melawat jabatan-jabatan kerajaan, sekolah berprestasi tinggi selain kerjasama PIBG dan komuniti setempat.

“Kejayaan ini adalah dorongan kepada pelajar lain walaupun dari sekolah harian biasa luar bandar tetapi mampu mencapai kejayaan di peringkat antarangbasa,” katanya.

Che Soh berkata, pasukan tersebut menggunakan tajuk projek '100 Things About Nuclear Science And Life'  dan menggunakan konsep 'I Clear about nuclear'  bagi memastikan masyarakat lebih memahami apa itu tenaga nuklear dan keperluan tenaga tersebut kepada kehidupan.

Sementera itu Tengku Zaihan yang juga Adun Kuala Besut berkata, kejayaan itu membuktikan sesiapa sahaja mampu berjaya asalkan mempunyai kesungguhan di samping sistem pendidikan yang baik meskipun merupakan sekolah harian biasa.

Menurutnya, pelaksanaan program English Teaching Asistant (ETA) yang dilaksanakan di sekolah itu juga merupakan salah satu faktor kejayaan pasukan tersebut.

“Program itu adalah hasil cetusan Datuk Seri Idris Jusoh ketika beliau menjadi Menteri Besar Terengganu dahulu dengan memperkenalkan program ETA iaitu menggunakan tenaga pengajar dari Amerika Syarikat dan usaha beluau telah menampakkan hasil.

“Buktinya pelajar sekolah harian biasa mampu membentangkan hasil projek mereka dalam Bahasa Inggeris dengan baik dan mampu mempengaruhi panel hakim sehinggakan menewaskan wakil dari negara Barat, Eropah mahupun Asia lain,” katanya yang mengucapkan tahniah kepada sekolah dan pasukan tersebut.